Bekalan minyak masak peket di Melaka, Negeri Sembilan kurang

Zamzami menunjukkan bekalan minyak masak peket yang habis dijual.
Zamzami menunjukkan bekalan minyak masak peket yang habis dijual.
A
A
A

KUALA PILAH - Bekalan minyak masak peket satu kilogram (kg) di daerah ini didapati turut terjejas sejak kebelakangan ini sehingga mendorong pengguna mencarinya ke kawasan pekan berhampiran.

Perkara itu diakui oleh beberapa peniaga yang ditemui Sinar Harian ketika tinjauan pada Sabtu.

Peniaga, Mohd Arif Kudus, 50, berkata, dia kehabisan stok minyak masak peket dalam minggu ini, namun pembekal memaklumkan akan menghantar bekalan dalam masa terdekat.

"Hari ini minyak masak peket sudah habis, hanya tinggal minyak botol sahaja. Ramai juga pelanggan mencari dan terpaksa membeli minyak masak botol," katanya.

Seorang lagi peniaga, Zamzami Zulkili, 23, berkata, bekalan minyak masak peket di kedainya sangat terhad sejak kebelakangan ini.

"Saya tidak pasti apa puncanya dan keadaan ini menyukarkan pembeli untuk mendapatkan minyak masak peket," katanya.

Dalam pada itu, suri rumah, Siti Norbaiti Abdul Rahman, 42, berkata, dia terpaksa membeli minyak masak botol dengan harga yang agak mahal berikutan kebanyakan kedai runcit kehabisan stok minyak peket.

"Kita ini masak sikit-sikit, bajet pun tidaklah banyak nak beli stok minyak banyak-banyak. Jadi harap pihak bertanggungjawab dapat periksa semula kenapa keadaan ini berlaku sebab ia menyusahkan kami," katanya.

Artikel Berkaitan:

Thinesh
Thinesh

Sementara itu di Melaka, pembantu kedai runcit di Kesang Pajak, Ak Thinesh, 20, mengakui bekalan minyak masak peket di kedainya telah kehabisan sejak minggu lalu.

Menurutnya, tidak pasti masalah yang menyebabkan terputus bekalan dan ada di antara pengguna terpaksa pergi ke Pekan Durian Tunggal atau Selandar untuk mendapatkan minyak masak peket.

"Saya pun tak tahu kenapa belum dihantar bekalan ke kedai kami dan ada juga pelanggan yang merungut.

"Tapi bila tak ada pilihan mereka terpaksa juga membeli minyak masak botol," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!