Taklik cerai kerana politik tanda kerosakan parah - Mohd Azmi

Laporan Sinar Harian dan Mohd Azmi
Laporan Sinar Harian dan Mohd Azmi
A
A
A

SHAH ALAM - Tindakan seorang individu yang ingin melafazkan taklik cerai terhadap isterinya sekiranya Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Kerajaan Perpaduan masih bertahan hingga Ogos menandakan politik negara ini menuju ke arah kerosakan parah.

Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim), Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, menggadaikan hubungan keluarga atas perkembangan politik semasa menunjukkan kematangannya yang sangat rendah.

“Ini adalah politik ekstrem tahap tinggi, fanatik hingga ke tahap memutuskan hubungan suami isteri menandakan politik di negara ini menuju ke arah kekacauan yang parah.

“Kami berpandangan individu berkenaan telah menerima indoktrinasi politik melampau akibat pemimpin politik pembangkang menanamkan persepsi di luar kerangka demokrasi yang matang.

“Individu tersebut menjadi mangsa kepada kempen yang agresif, menanam kebencian keterlaluan untuk menjatuhkan kerajaan melalui label dan menggunakan sentimen perkauman serta agama,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Sebelum ini, tular di media sosial mengenai seorang lelaki pada Februari lalu yang memaklumkan dia bertaklik menceraikan isterinya talak tiga jika Anwar dan kerajaan tidak bertukar pada Ogos sehingga mengundang persoalan ramai sama ada talak itu jatuh atau sebaliknya.

Mohd Azmi memaklumkan, parti pembangkang amat gelojoh untuk merebut kuasa dengan kaedah matlamat menghalalkan cara.

Tambah beliau, sentimen kebencian yang melampau sanggup memporak perandakan masyarakat hingga ke tahap merosakkan institusi kekeluargaan.

Artikel Berkaitan:

“Malangnya, pemimpin parti pembangkang sanggup mengelirukan masyarakat sehingga wujud kes penceraian seperti yang dilakukan oleh individu itu, hanya kerana politik sempit.

“Sikap ini sangat tidak bertanggungjawab dan tidak boleh dibiarkan tanpa ditegur ahli agamawan,” ujarnya.

Kata Azmi, bukan sekadar budaya melabel atau mengkafirkan orang lain yang kembali menjadi gejala buruk dan semakin berleluasa, kini lafaz cerai juga begitu mudah dikaitkan dengan fanatik politik.

“Ternyata kedudukan institusi kekeluargaan dan akad antara suami dan isteri yang sangat suci di sisi Islam kini boleh terlerai hanya kerana fahaman politik yang sangat rendah,” katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!