MAIS nafi isytihar Abdul Hadi pengikut ajaran sesat
SHAH ALAM - Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) menafikan kenyataan seorang pemilik akaun Facebook yang mendakwa agensi agama Islam itu mengisytiharkan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang sebagai ajaran sesat.
Setiausahanya, Ahmad Shahir Makhtar berkata, kenyataan dimuat naik di Facebook pada 1 September itu mempunyai unsur fitnah dan seterusnya menjatuhkan imej MAIS.
"MAIS mendapati kandungan dimuat naik di akaun media sosial itu adalah tidak benar dan mengandungi unsur fitnah yang boleh mencemarkan imej MAIS sebagai pihak berkuasa agama di negeri ini," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Ahmad Shahir menegaskan, pihaknya memandang serius perkara itu terutama terhadap mana-mana pihak yang sewenang-wenangnya menggunakan nama MAIS untuk sebarang kepentingan.
"Tindakan sewajarnya akan diambil terhadap mereka berkaitan perkara ini," kata beliau.
Sebelum ini, seorang pemilik akaun Facebook mendakwa, MAIS isytihar Abdul Hadi dan semua ahli Pas termasuk Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan Ahli Parlimen serta Menteri Besar dari Pas sebagai pengikut ajaran kafir syiah khawarij.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!