'Ais panggang' menu pelik sedap dimakan?
BEIJING - Trend makanan pelik semakin menjadi pilihan pengguna di sesetengah negara.
Terbaharu, ais panggang menjadi menu aneh yang hangat diperkatakan di China dan turut menjadi tular di media sosial.
Hidangan tersebut mula mendapat perhatian selepas klip berdurasi 21 saat dikongsikan pemilik akaun K0pinions di TikTok pada 25 Ogos lalu.
Menurut kapsyen video tersebut, ais panggang dimasak di atas arang dan turut ditabur perasa seperti rempah-ratus dan sos itu berasal dari utara Beijing.
Ia turut dijual dengan pelbagai bentuk seperti kiub, kon dan isikel.
Paling menarik, ais panggang itu dikatakan boleh dinikmati secara panas atau sejuk.
Beberapa pengguna media sosial bagaimanapun percaya, menu pelik itu adalah gimik untuk menarik perhatian pelancong.
Ruangan komen juga dibanjiri pelbagai reaksi dan ada yang seakan-akan tidak percaya makanan seperti itu wujud malah terdapat pengguna yang secara sinis menyatakan 'adakah di sana sudah kehabisan makanan?'.
Sementara itu, platform perkongsian video Douyin turut memaparkan banyak menu ais panggang di China.
Pada Jun lalu, menu batu goreng yang berasal dari Enshi, wilayah Hubei mendapat perhatian ramai setelah ia dijual dengan harga AS$2 (RM9) di Pasar Malam Changsha.
Cara memakannya juga pelik kerana hanya perlu menghisap 'perasa' yang digoreng bersama batu tersebut. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!