Divock kembali semula ke EPL bersama Forest
PEMAIN Belgium, Divock Origi menyertai Nottingham Forest secara pinjaman selama semusim daripada gergasi Serie A Itali, AC Milan, umum pasukan Liga Perdana Inggeris tersebut.
Origi merupakan antara pembelian pada saat-saat akhir Forest, bersama-sama dengan pertahanan tengah Ireland, Andrew Omobamidele, pemain tengah Ivory Coast, Ibrahim Sangare, pemain sayap England, Callum Hudson-Odoi, penjaga gol Greece, Odysseas Vlachodimos, pertahanan Argentina, Nicolas Dominguez dan pertahanan kiri Portugal, Nuno Tavares.
“Divock kembali ke Liga Perdana untuk menambahkan lagi kekuatan kepada skuad kami. Kami mahu memperkukuh pilihan serangan kami dan Divock pasti membantu kami melakukannya,” kata Ketua Pegawai Bola Sepak Forest Ross Wilson dalam satu kenyataan.
Sebagai rekod, Origi menyertai Milan secara pinjaman dari Liverpool pada musim panas lalu selepas membuat 36 penampilan dalam semua pertandingan, termasuk lapan dalam Liga Juara-Juara.
Pemain berusia 28 tahun itu menyertai kelab Merseyside pada 2014 dan membuat 175 penampilan, menjaringkan 41 gol dan memberikan 18 bantuan.
Sepanjang tempoh lapan tahun di Anfield, dia memenangi Piala FA, Piala Liga dan gelaran Liga Perdana bersama angkatan Jurgen Klopp, serta menjaringkan gol pada separuh akhir dan akhir kempen Liverpool yang memenangi Liga Juara-Juara 2019.
Origi, yang mempunyai 32 caps untuk Belgium, membuat penampilan sulung antarabangsanya pada Mei 2014.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!