Seni platform pupuk keharmonian masyarakat majmuk di Sabah

Peter Anthony
Peter Anthony
A
A
A

KOTA KINABALU - Penganjuran persembahan kesenian sempena perayaan etnik adalah platform terbaik untuk memupuk keharmonian, perpaduan dan toleransi kaum dalam masyarakat majmuk di Sabah, kata Pengerusi Jawatankuasa Induk Pesta Kaamatan Negeri 2019, Datuk Peter Anthony.

Beliau berkata penganjuran persembahan kesenian sempena Pesta Kaamatan yang julung kali diadakan pada kali ini dilihat mampu menyemarakkan lagi kepelbagaian budaya etnik Sabah.

“Sepanjang Mei ini bersempena sambutan Pesta Kaamatan, pelbagai acara diadakan seperti acara kesenian Sodop Pisompuruan, Pertandingan Lagu-Lagu Lama (Songkotoun), Anugerah Juara Lagu Kadazan Dusun Murut (KDM), Pertandingan Bercerita dalam Bahasa KDM, (Puisi Lisan Tradisi Hiis) dan Pertandingan Tarian Etnik Kreatif KDM.

“Sodop Pisompuruan yang diadakan pada malam ini (malam tadi) merupakan titik permulaan untuk sambutan Kaamatan Peringkat Negeri pada tahun ini," katanya ketika berucap melancarkan Program Persembahan Kesenian sempena Pesta Kaamatan di Pentas Luar Dewan Hongkod Koisaan KDCA, malam tadi.

Katanya penganjuran majlis itu adalah permulaan kepada proses untuk mengeratkan lagi jalinan mesra antara semua masyarakat dan mengukuhkan perpaduan yang sedia ada agar lebih terpelihara dan harmoni hingga ke generasi akan datang.

"Perbezaan dari segi pegangan agama, amalan budaya serta bahasa bukan penghalang setiap masyarakat terus hidup dalam harmoni dan saling memahami.

“Inilah adalah kekuatan kita. Inilah cerita sebenar kemajmukan Sabah dan Malaysia. Walau apa pun agama dan budayanya, kita terus hidup dalam keadaan yang sangat rukun dan damai serta saling mendukung antara satu sama lain. Inilah faktor penentu untuk kita menjadi kuat dan maju iaitu jika masyarakat dari pelbagai kaum dan keturunan dapat bersatu dalam kemajmukannya.- Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!