ADUN minta bantuan rakyat seolah persenda mandat - Jalaluddin
SEREMBAN - Tindakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang meminta bantuan rakyat bagi menguruskan keperluan seperti membuka pejabat adalah tidak wajar, seolah-olah mempersendakan mandat yang diberikan selepas menang pilihan raya.
Exco Kanan Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, sekiranya situasi sebegini terus bermain dalam kancah politik negara, proses pembelaan terhadap rakyat akan semakin rosak sekali gus merugikan rakyat di kawasan terlibat.
Menurutnya, tindakan wakil rakyat daripada parti yang kononnya mampu mengurus diri sendiri rupa-rupanya sekadar mainan persepsi semata-mata.
"Bukankah wakil rakyat yang membantu rakyat? Bukannya selepas kita memohon mandat tersebut, kita pula yang meminta wang ringgit mereka untuk menyelesaikan tugas kita.
"Jika didengar ceramah dari parti berkenaan, mereka sahajalah yang cerdik dalam mengurus tadbir rakyat tetapi berlaku sebaliknya," katanya dalam satu kenyataan di sini.
Jalaluddin yang juga Ahli Parlimen Jelebu berkata, timbul persoalan apabila terdapat ADUN dari parti tersebut secara terbuka meminta pertolongan rakyat untuk membuka pusat khidmat di kawasan mereka.
Katanya, biarpun kejadian meminta sumbangan itu bukan berlaku di Negeri Sembilan, beliau berharap tidak akan berlaku di negeri ini sama ada membabitkan pihak pembangkang mahupun kerajaan.
"Tidak pernah sesekali, mana -mana ADUN dari Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) meminta minta ihsan rakyat membantu menyelesaikan urusan kami sebaliknya kami yang perlu berusaha menyelesaikan masalah rakyat," katanya.
Justeru katanya, mahu pengundi terutama anak muda, membuat pilihan dalam pilihan raya mengikut kewarasan fikiran dan bukan sekadar emosi serta persepsi.
"Pilihlah calon wakil rakyat anda dari parti yang berpadu, stabil dan makmur," katanya.
Sebelum ini, tular di media sosial Tabung Infaq PKM ADUN Ijok, Jefri Mejan daripada Perikatan Nasional (PN) yang memohon sumbangan peralatan pejabat berkenaan.
Antara peralatan diperlukan termasuk set komputer, mesin pencetak, perabot pejabat, peti ais, papan tanda PKM, papan putih, set sofa dan internet.
ARTIKEL BERKAITAN:
ADUN PN minta sumbangan, Altimet sedia beri 'white board'
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!