Pasukan khas siasat ketirisan minyak masak bersubsidi

Fuziah (tiga dari kiri) membuat gimik jualan ayam RM1 seekor kepada orang ramai yang hadir ke Program Jualan Rahmah Bergerak Peringkat Negeri Perak di Dewan Bandaran Gopeng di sini pada Ahad.
Fuziah (tiga dari kiri) membuat gimik jualan ayam RM1 seekor kepada orang ramai yang hadir ke Program Jualan Rahmah Bergerak Peringkat Negeri Perak di Dewan Bandaran Gopeng di sini pada Ahad.
A
A
A

GOPENG - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan mengarahkan pasukan khas menyiasat kekurangan minyak masak bersubsidi di pasaran.

Timbalan menterinya, Fuziah Salleh berkata, KPDN menerima aduan mengenai kesukaran memperoleh minyak masak peket tersebut.

Beliau berkata, setiap bulan sejumlah 60,000 tan metrik minyak masak bersubsidi disediakan kerajaan untuk golongan sasar.

"Minyak masak peket ini kita memang ada pasukan khas untuk menyiasat sekiranya ada ketirisan sebab memang kita terima aduan merata-rata minyak masak peket ini sukar diperoleh.

"Sebenarnya kita ada sistem pengesanan daripada pembekal kepada pemborong, namun kita faham bahawa ada yang tiris di mana-mana, jadi memang kita ada pasukan khas menyiasat jika berlaku ketirisan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Jualan Rahmah Bergerak Peringkat Negeri Perak di Dewan Bandaran Gopeng di sini pada Ahad.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas laporan Sinar Harian mengenai kesukaran mendapatkan minyak masak peket di beberapa premis perniagaan di Negeri Sembilan dan Melaka.

Jelasnya, berdasarkan kajian statistik jumlah pengeluaran minyak masak bersubsidi setiap bulan mencukupi bagi setiap isi rumah golongan sasar.

Sementara itu, Fuziah berkata, KPDN sedang mengemaskan data terperinci bagi pemberian minyak masak secara bersasar kepada golongan yang ditetapkan.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, kerajaan bersetuju menetapkan bahawa selain golongan B40, golongan M40 dan peniaga kecil mikro juga boleh membeli minyak masak bersubsidi tersebut.

Katanya, mekanisme pemberian minyak masak bersubsidi kepada golongan sasar itu dijangka dilaksanakan pada tahun hadapan.

Pada program tersebut juga turut diadakan jualan ayam RM1 seekor bagi 300 orang terawal yang hadir membeli barangan ketika jualan tersebut.

ARTIKEL BERKAITAN: Berlaku kekurangan minyak masak peket di Kedah tetapi tidak meruncing

Bekalan minyak masak peket di Melaka, Negeri Sembilan kurang

Minyak masak peket susah dapat, terpaksa cari merata tempat

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!