PM ucap tahniah kepada Presiden baharu Singapura
SHAH ALAM - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengucapkan tahniah kepada Tharman Shanmugaratnam yang memenangi Pilihan Raya Presiden Singapura pada Jumaat.
Anwar dalam satu kenyataan menerusi laman Facebook berkata, beliau berharap hubungan dua hala antara Malaysia dan Singapura akan terus utuh dalam semangat kekeluargaan.
"Saya mendoakan agar jalinan kerjasama ini mampu membawa manfaat kepada rakyat kedua-dua negara, selain mengharapkan Singapura terus makmur dan sejahtera di bawah kemudi beliau.
"Selamat maju jaya kepada Tharman Shanmugaratnam sebagai Presiden baharu Republik Singapura!" ujarnya.
Semalam media melaporkan, bekas Menteri Kanan Singapura itu dipilih sebagai Presiden Singapura setelah memperoleh kemenangan besar dalam Pilihan Raya Presiden pertama sejak lebih satu dekad.
Shanmugaratnam, 66, mengalahkan dua pencabarnya apabila memperoleh 70.4 peratus undi.
Beliau akan memegang jawatan Presiden untuk penggal selama enam tahun.
Saingan utama Shanmugaratnam, Ng Kok Song yang merupakan bekas Ketua Pegawai Pelaburan Kumpulan GIC memperoleh hanya 15.7 peratus undi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!