'Semoga ada keajaiban buat Celine Dion' - Kakak
KELUARGA penyanyi tersohor dunia, Celine Dion mengakui, tidak banyak yang boleh dilakukan mereka dalam meringankan penderitaan penghibur itu yang kini bertarung dengan penyakit dikenali Stiff Person Syndrome (SPS).
Perkembangan terbaharu kesihatan Celine didedahkan kakaknya, Claudette dalam temu bual bersama majalah Hello! Canada.
Menurut Claudette, 74, sekalipun tidak banyak yang mampu dilakukan bagi mengurangkan penderitaan sakit beliau, namun keluarga tetap setia menemani penyanyi itu.
Claudette memaklumkan, penyanyi berusia 55 tahun itu pada masa ini sedang berusaha untuk pulih walaupun masih keliru tentang penyakit yang dialaminya.
Ujar beliau, Celine sering mengalami kekejangan otot yang mustahil untuk dikawal.
Kerana itu katanya, mereka sekeluarga berada di sisi Celine untuk memberi sokongan dan semangat kepadanya.
Claudette yang kini tinggal bersama Celine dan tiga anaknya berkata, adalah sukar untuk menyatakan jika ada atau tidak penawar bagi penyakit tersebut.
Pada Disember 2022, pelatun lagu hit My Heart Will Go On itu disahkan mengalami penyakit dikenali Stiff Person Syndrome.
Beliau sendiri berkongsi perkara berkenaan menerusi Instagram miliknya pada Disember lalu.
Disebabkan itu juga, Celine terpaksa membatalkan semua konsert jelajah dunianya termasuk beberapa konsert di Eropah susulan penyakit yang dihidapinya. - Awani
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!