6,453 suri rumah pencarum SKSSR di Pahang

Hisham (depan, lima dari kanan) dan Chun Kuang ( depan, empat dari kiri) bersama sebahagian suri rumah yang menerima tajaan SKSSR DUN Semambu pada majlis penyerahan nota perlindungan skim itu di Cenderawasih pada Ahad.
Hisham (depan, lima dari kanan) dan Chun Kuang ( depan, empat dari kiri) bersama sebahagian suri rumah yang menerima tajaan SKSSR DUN Semambu pada majlis penyerahan nota perlindungan skim itu di Cenderawasih pada Ahad.
A
A
A

KUANTAN - Seramai 6,453 suri rumah di negeri ini telah mencarum di bawah Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSSR) dalam tempoh Disember tahun lalu hingga 21 Ogos tahun ini.

Daripada jumlah itu, 854 suri rumah merupakan pencarum SKSSR secara sukarela dan 5,599 orang lagi melalui inisiatif kerajaan.

Pengarah Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) Pahang, Hisham Abdul Rahman berkata, SKSSR yang berkuat kuasa pada 1 Disember tahun lalu diperkenalkan di bawah Akta Keselamatan Sosial Suri Rumah 2022 sebagai perlindungan keselamatan sosial kepada suri rumah berusia di bawah 55 tahun daripada bencana domestik dan keilatan semasa menguruskan rumah tangga.

Menurutnya, PERKESO Pahang sedang giat mempromosikan skim itu bagi menarik minat golongan suri rumah di negeri ini menjadi pencarum secara sukarela.

"Kita sasarkan kira-kira 16,000 suri rumah mendapat perlindungan melalui SKSSR di Pahang tahun ini.

"Sebab itu, kita galakan golongan tersebut untuk mencarum secara sukarela dengan bayaran serendah RM120 setahun bagi melayakkan mereka menerima faedah perlindungan yang ditawarkan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis penyerahan tajaan SKSSR oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semambu, Chan Chun Kuang kepada 30 suri rumah dalam kalangan B40 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Semambu di sini pada Ahad.

Hisham berkata, Chun Kuang merupakan ADUN Pahang pertama yang menaja SKSSR kepada golongan suri rumah yang memerlukan di kawasannya.

Artikel Berkaitan:

"PERKESO Pahang amat mengalu-alukan kerjasama ADUN untuk turut melaksanakan inisiatif ini bagi membantu golongan suri rumah yang layak di kawasan masing-masing.

"Sebenarnya PERKESO Pahang telah menemui dan menyerahkan kertas kerja tajaan SKSSR kepada beberapa ADUN di Pahang dan kita yakin mereka juga akan mengikut langkah yang dimulakan ADUN Semambu ini," katanya.

Sementara itu, Chun Kuang berkata, seramai 30 suri rumah dari Bukit Setongkol dan Cenderawasih di sini menjadi kumpulan pertama penerima tajaan skim itu di bawah DUN Semambu.

Menurutnya, tajaan itu akan diperluas ke kawasan lain dengan sasaran 200 penerima tahun ini.

"Skim ini amat baik dan dapat membantu golongan suri rumah terutama golongan B40 dan ibu tunggal mendapat perlindungan keselamatan diri mereka.

"Kebanyakan mereka ini tiada perlindungan insurans jadi saya mengambil inisiatif menaja skim ini kepada suri rumah yang layak dan memerlukan," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!