Hanya SPR boleh buat persempadanan semula kawasan pilihan raya - Guan Eng
KAMPAR - DAP menyifatkan dakwaan Perikatan Nasional (PN) bahawa Kerajaan Perpaduan akan meminda Perlembagaan Persekutuan bagi menambah kawasan pilihan raya jika memiliki majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat sebagai tidak berasas.
Pengerusinya, Lim Guan Eng berkata, urusan persempadanan semula kawasan pilihan raya itu merupakan bidang kuasa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
"Ini ditentukan oleh SPR dan saya tidak terima sebarang maklumat langsung. Sepatutnya beliau (Tan Sri Muhyiddin Yassin) tanya SPR bukan pihak kami (Kerajaan Perpaduan).
"Takkan beliau sebagai bekas Perdana Menteri tidak tahu di bawah Perlembagaan Persekutuan yang menentukan perkara ini bukan orang lain kecuali SPR sahaja.
"Kalau beliau tidak tahu susahlah untuk kita boleh akui dia Perdana Menteri yang layak kerana perkara asas dalam Perlembagaan Persekutuan pun tidak faham," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pusat Khidmat Rakyat Ahli Parlimen Kampar dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Keranji di sini pada Ahad.
Tambah beliau, isu yang dimainkan oleh pihak pembangkang tidak menjejaskan rentak pengundian rakyat kepada Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram pada 9 September ini.
"Kita dalam pilihan raya negeri (PRN) sebelum ini masih kekalkan kuasa di tiga negeri jadi, tentulah itu permainan politik mereka yang pandai buat fitnah.
"Saya mengharapkan rakyat boleh melihat dengan jelas antara yang benar dan batil. Mereka boleh buat apa-apa sahaja termasuklah menaikkan isu-isu yang tidak berasas," katanya.
Sinar Harian melaporkan Pengerusi PN, Muhyiddin mendakwa kerajaan akan meminda Perlembagaan Persekutuan dengan menambah kawasan pilihan raya daripada 222 kepada 300 kerusi.
Menurut beliau, langkah itu boleh disekat dengan memenangkan calon PN Parlimen Pulai, Zulkifli Jaafar sekali gus menafikan majoriti dua pertiga Kerajaan Perpaduan.
Kerusi Parlimen Pulai menyaksikan saingan tiga penjuru antara Zulkifli; Naib Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Johor, Suhaizan Kayat dan calon Bebas, Samsudin Mohamad Fauzi selepas kematian penyandangnya, Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub pada 23 Julai lepas.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!