PM umum RM500 juta projek naik taraf fasa pertama di HSA

Anwar (tiga dari kanan) mendengar penerangan daripada Dr Sal Atan ketika hadir ke lawatan kerja di Hospital Sultanah Aminah hari ini. - Foto Bernama
Anwar (tiga dari kanan) mendengar penerangan daripada Dr Sal Atan ketika hadir ke lawatan kerja di Hospital Sultanah Aminah hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

JOHOR BAHRU - Kerajaan meluluskan peruntukan RM500 juta bagi pembinaan blok baharu dan parkir bertingkat di Hospital Sultanah Aminah (HSA).

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pembinaan projek naik taraf tersebut akan dilaksanakan segera menerusi fasa pertama pada tahun ini.

Menurut beliau, proses tender kerja naik taraf HSA itu juga akan dilaksanakan dalam masa terdekat bagi membolehkan ia disiapkan segera.

"Sebelum ini saya menerima laporan daripada Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa tentang kesesakan dan lain-lain yang berbangkit HSA selama puluhan tahun.

"Setelah beliau (Dr Zaliha) bangkitkan isu di HSA kepada jemaah menteri beberapa bulan lalu, Kementerian Kewangan mula mengambil beberapa langkah segera," katanya kepada media selepas mengadakan lawatan ke HSA pada Ahad.

Hadir sama Dr Zaliha; Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi dan Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Liew Chin Tong.

Anwar memberitahu, mengenai kelulusan pembinaan parkir bertingkat, kerajaan Johor telah mengambil langkah segera dengan bantuan Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB).

"Bagi fasa pertama (naik taraf) hospital ini sahaja memerlukan setengah bilion ringgit. Saya mahu projek ini disegerakan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Anwar yang juga Menteri Kewangan berharap projek pembangunan parkir bertingkat tidak seharusnya mengganggu perancangan membina beberapa blok baharu HSA.

"Mengikut Pengarah HSA (Dr Sal Atan), keluasan HSA hampir 100 ekar (40.46 hektar), jika kita guna pelan asal keluasan tanah ini sudah mencukupi.

"Saya lihat tadi kesesakan (di HSA) tidak dapat ditampung lagi. Oleh itu, proses tender akan dilakukan secara 'fast track' dan dilaksanakan dalam masa terdekat," katanya.

Ditanya, mengenai rancangan pembinaan HSA 2 pula, Anwar menjelaskan, projek mendesak menjadi keutamaan kerajaan dan akan didahulukan.

"Untuk yang lain (HSA2) kita (akan masukkan) dalam Rancangan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) dan berikutnya," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!