Undi calon PH haram: Zahid bidas 'fatwa' politik Muhyiddin

Ahmad Zahid menyerahkan replika cek kepada penerima semasa melakukan lawatan ke PPR Kempas Permai, Johor Bahru pada Ahad
Ahmad Zahid menyerahkan replika cek kepada penerima semasa melakukan lawatan ke PPR Kempas Permai, Johor Bahru pada Ahad
A
A
A

JOHOR BAHRU - Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi membidas kenyataan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mengeluarkan 'fatwa' politik bahawa mengundi calon Pakatan Harapan (PH), Suhaizan Kaiat pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai 9 September ini adalah haram.

Presiden UMNO itu berkata, Muhyiddin bukan seorang ulama yang boleh mengeluarkan 'fatwa' seperti itu semata-mata untuk kepentingan politik.

"Ada orang bukan ulama mula keluarkan 'fatwa' politik kononnya undi Suhaizan Kaiat haram. Saya nak tanya orang itu, ayat al-Quran daripada mana, hadis daripada mana, qias daripada mana dan ijma' ulama daripada mana (yang ada dalil menyatakan demikian).

"Semasa (Parti Pribumi Bersatu Malaysia) menjadi sebahagian kerajaan PH 1.0 (Pakatan Harapan) dulu semuanya halal, bila tak tak sealiran sahaja dengan dia, maka keluarlah 'fatwa' seperti itu," katanya.

Timbalan Perdana Menteri berkata demikian dalam sidang akhbar selepas melakukan lawatan ke Program Perumahan Rakyat (PPR) Kempas Permai di sini pada Ahad.

Turut hadir, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki; Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Mohd Jafni Md Shukor dan Exco Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia negeri, Mohd Hairi Mad Shah.

Muhyiddin ketika berucap dalam kempen ceramah Pilihan Raya Kecil (PRK) Pulai di Nusa Bestari di sini malam Sabtu melarang pengundi Parlimen Pulai untuk mengundi calon PH.

Beliau yang juga Presiden Bersatu berkata, cara itu dapat menentang kekuasaan kerajaan Pusat yang diterajui Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang didakwa gagal menangani isu ekonomi yang menghimpit rakyat ketika ini.

Artikel Berkaitan:

Pada PRK Parlimen Pulai Sabtu depan, Suhaizan akan ditentang calon PN, Zulkifli Jaafar dan calon Bebas, Samsudin Mohamad Fauzi.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah yakin pengundi sama ada di Parlimen Pulai atau DUN Simpang Jeram bijak serta matang dalam membuat keputusan nanti.

"Apa (mereka) yang lakukan muslihat itu adalah musibat yang menggunakan rakyat kononnya untuk perjuangan mereka tetapi sebenarnya apa yang mereka lakukan adalah sebaliknya.

"Untuk itu keyakinan bahawa Bangsa Johor khususnya pengundi-pengundi di Pulai dan Simpang Jeram ini teruslah istiqamah untuk memilih wakil rakyat dan insya-ALLAH kita akan berikan yang terbaik dalam memenuhi keperluan-keperluan sebagai mana yang disebutkan dalam majlis ini tadi," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!