Polis rakam keterangan Abdul Hadi esok

Abdul Hadi - Foto Bernama
Abdul Hadi - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Polis akan merekod keterangan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang pada Isnin berhubung kenyataannya yang didakwa mempertikai kuasa Lembaga Pengampunan dalam ceramahnya di markas parti itu di Bakri, Muar di Johor minggu lalu.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, pegawai khas Abdul Hadi memaklumkan pemimpin itu masih dalam rawatan kesihatan.

"Tarikh baharu diberikan kepada beliau (Abdul Hadi) pada 4 September jam 9.30 pagi.

"Keterangan Abdul Hadi akan direkod oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman," katanya kepada Sinar Harian.

Pada 28 Ogos lalu, Pengarah JSJ Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, siasatan telah dibuka terhadap Abdul Hadi di bawah Seksyen 4 (1) Akta Hasutan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia.

Sebelum ini, Ahli Parlimen Bachok yang juga Penolong Setiausaha Agung Pas, Mohd Syahir Che Sulaiman dalam satu kenyataan mengesahkan Abdul Hadi dipanggil Bukit Aman berhubung laporan polis membabitkan ucapan beliau dalam kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) di Simpang Jeram, Muar.

Pada Ahad, Timbalan Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (PKR), Razeef Rakimin mempersoalkan tindakan Abdul Hadi yang didakwa cuba berbohong bagi mengelakkan dirinya disiasat pihak polis.

Ia berikutan Abdul Hadi bersama empat Menteri Besar dari Pas serta setiausaha agungnya melakukan kunjungan ke kediaman bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pada Sabtu.

Artikel Berkaitan:

ARTIKEL BERKAITAN: Abdul Hadi sedia beri keterangan kepada Bukit Aman

Polis panggil Abdul Hadi berkaitan ucapan berunsur 3R

Abdul Hadi disiasat dakwaan pertikai kuasa Lembaga Pengampunan

Razeef persoal alasan Hadi tidak sihat tapi boleh bertemu Tun M

Empat MB PN bertemu Tun M

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!