Sejuta penjaja kecil diseru daftar SSM

Fuziah (dua dari kanan) membantu pengunjung Program Jualan Rahmah di Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan Anak Bukit membeli barangan keperluan.
Fuziah (dua dari kanan) membantu pengunjung Program Jualan Rahmah di Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan Anak Bukit membeli barangan keperluan.
A
A
A

ALOR SETAR - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menyeru penjaja kecil agar mendaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) bagi memudahkan pengumpulan data untuk pelaksanaan subsidi minyak masak bersasar.

Timbalan Menterinya, Fuziah Salleh berkata, langkah itu bagi membolehkan mereka tetap menerima manfaat barangan seperti minyak masak peket, apabila subsidi bersasar dilaksanakan tidak lama lagi.

Katanya, kebanyakan peniaga takut untuk mendaftar SSM kerana risau perlu membayar cukai.

"Sebenarnya sekiranya pendapatan peniaga tidak mencapai tahap tertentu mereka tidak perlu membayar cukai sebaliknya hanya perlu menyediakan laporan tahunan.

"Apabila adanya pendaftaran daripada peniaga ia akan memudahkan kami (kementerian) memperoleh data untuk memulakan subsidi bersasar ini dan juga lain-lain manfaat," katanya ketika ditemui di sesi 'walkabout' pada Program Jualan Rahmah di Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan Anak Bukit di sini pada Ahad.

Menurutnya, ketika ini terdapat kira-kira sejuta pemain industri mikro iaitu penjaja di negara ini yang kebanyakan daripadanya belum berdaftar dengan SSM.

"SSM juga boleh membantu golongan B40 untuk mendaftar perniagaan mereka secara percuma.

"Apa yang kita perlukan sekarang adalah data lengkap bagi memastikan golongan yang benar-benar layak untuk menerima subsidi bersasar tersebut," katanya.

Artikel Berkaitan:

Fuziah menambah, setakat ini dianggarkan sebanyak 5.8 juta isi rumah layak menerima subsidi bersasar minyak masak peket yang akan dilaksanakan pada tahun depan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!