Penunggang maut, motosikal langgar belakang lori
BATANG KALI - Seorang remaja maut apabila motosikal yang ditungganginya melanggar belakang lori di Kilometer 2 Jalan Batang Kali-Ulu Yam Bharu, hari ini.
Dalam kejadian jam 1.45 pagi itu mangsa, G Seetharamu, 19, yang beralamat di Taman Garing Utama Rawang meninggal dunia di tempat kejadian.
Ketua Polis Hulu Selangor, Superintendan Lim Bak Phai berkata, kemalangan di hadapan Sekolah Kebangsaan (SK) Batang Kali membabitkan sebuah lori dan motosikal.
Menurutnya, lori berkenaan yang selesai menurunkan muatan ayam hidup di pasar pagi Batang Kali dalam perjalanan balik menghala ke Pulau Pinang.
"Semasa sampai di tempat kejadian, terdapat sebuah kenderaan di hadapan lori dengan nombor pendaftaran tidak diketahui membuat pusingan U secara tiba-tiba.
"Lori dipandu lelaki berusia 40 tahun mengelak ke kiri jalan dan pada masa yang sama, datang motosikal terbabit dari arah belakang.
"Motosikal tersebut melanggar sebelah belakang kanan lori dan menyebabkan penunggang maut di tempat kejadian," katanya.
Kes diklasifikasikan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!