Agong, Raja Permaisuri santuni masyarakat Tawau
TAWAU - Keperibadian mesra rakyat Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah terserlah apabila baginda berdua berkenan menyantuni penduduk di sini yang teruja menanti keberangkatan tiba pasangan diraja itu.
Seri Paduka berdua berangkat tiba di Tawau sempena Kembara Kenali Borneo yang julung kali diadakan, bermula dari daerah ini dan berakhir di Telok Melano, Kuching melibatkan jarak perjalanan sejauh 2,154 kilometer melalui Lebuhraya Pan Borneo yang menghubungkan Sabah, Sarawak serta Brunei.
Semasa perjalanan dari Lapangan Terbang Tawau ke hotel penginapan, Al-Sultan Abdullah yang berkenan memandu sendiri kereta dengan ditemani Tunku Azizah turut berulang kali meluangkan masa berhenti dan turun dari kenderaan untuk bersalaman serta bergambar dengan penduduk yang menunggu di tepi jalan untuk menyaksikan keberangkatan tiba pasangan itu.
Jadual perjalanan baginda berdua dari Lapangan Terbang Tawau ke hotel penginapan turut tergendala kira-kira lima jam selepas pasangan diraja itu berkenan meluangkan masa menyantuni rakyat di sepanjang perjalanan yang sepatutnya memakan masa 30 minit.
Sambutan luar biasa turut kelihatan apabila beberapa penduduk setempat antaranya di Kampung Ranggu di sini mengibarkan Jalur Gemilang dan bendera Sabah sebagai simbolik menyambut keberangkatan tiba baginda berdua.
Beberapa penduduk turut meminta motoked Seri Paduka berdua berhenti atau memperlahankan konvoi ketika melalui jalan berhampiran kawasan mereka untuk bertemu dengan Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah.
Haryati Bahar, 49, meluahkan perasaan gembira dan keterujaannya kerana mendapat peluang untuk bersemuka dengan Seri Paduka berdua buat pertama kali.
"Lebih teruja dan gembira sebab dapat bersalaman dengan Raja Permaisuri Agong, rasa puas hati walaupun terpaksa menunggu sejak 2 petang tadi. Selama ini cuma nampak di televisyen,” kata suri rumah itu kepada Bernama.
Siti Elfiya Rahman, 49, pula kagum dengan keperibadian Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah yang sangat berjiwa rakyat malah pengalaman bersemuka dengan Seri Paduka berdua amat berharga buat dirinya.
"Mungkin lepas ini tiada lagi peluang seperti ini,” katanya yang menunggu keberangkatan tiba Seri Paduka berdua di Jalan Batu 8 dekat Kampung Ranggu sejak 2 petang.
Semasa di Sabah dari 3 hingga 7 September, Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah serta rombongan dijadual singgah di lapan daerah lain iaitu Lahad Datu, Sandakan, Telupid, Ranau, Kundasang, Kota Kinabalu, Penampang dan Sipitang. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!