'Fatwa' haram undi calon PH, Muhyiddin perlu taubat - Tok Mat

Mohamad memberi taklimat kepada jentera BN di PDM Permatang Kempas, Johor Bahru pada Ahad.
Mohamad memberi taklimat kepada jentera BN di PDM Permatang Kempas, Johor Bahru pada Ahad.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak seharusnya mempermainkan agama dengan mengeluarkan 'fatwa' politik sebaliknya berkempen secara matang dalam pilihan raya kecil (PRK) di negeri ini tanpa mencetuskan kontroversi.

Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hassan menasihatkan bekas Perdana Menteri itu supaya bertaubat susulan kenyataan beliau mengeluarkan 'fatwa' bahawa mengundi calon Pakatan Harapan (PH) pada 9 September ini adalah haram.

Beliau yang juga Timbalan Presiden UMNO berkata, sebagai orang lama dalam politik, Muhyiddin sepatutnya menumpukan isu yang ingin dibawakan atau manifesto parti yang membawa kebaikan kepada rakyat.

"Suruh dia bertaubatlah, jangan yang halal kita haramkan, itu bukan hak kita. Kempen tu berkempen juga, berpolitik pun politik juga tapi bab soal akidah jangan buat main.

"Jangan nak kata tak masuk syurgalah, macam-macamlah dan sengaja mengeluarkan kenyataan yang mengundang kontroversi.

"Saya bagi nasihat kepada individu yang berpangkat 'abang-abang' saya itu supaya jadilah seorang yang 'gentleman'. Kita beritahu apa yang nak kita lakukan, bukanlah keluarkan kenyataan seperti itu," katanya kepada pemberita selepas melawat Pusat Daerah Mengundi (PDM) Permatang Kempas di sini pada Ahad.

Beliau mengulas satu video yang tular dalam media sosial pada Ahad menunjukkan Muhyiddin ketika berucap dalam satu ceramah sempena PRK Parlimen Pulai di Johor, mengeluarkan 'fatwa haram' mengundi calon PH, Suhaizan Kaiat.

Muhyiddin ketika berucap dalam kempen ceramah Pilihan Raya Kecil (PRK) Pulai di Nusa Bestari, Johor Bahru malam Sabtu melarang pengundi Parlimen Pulai untuk mengundi calon PH.

Artikel Berkaitan:

Muhyiddin mengeluarkan 'fatwa' haram untuk memberi satu undi kepada calon PH yang bertanding di kawasan berkenaan.

Beliau yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu berkata, cara itu dapat menentang kekuasaan kerajaan Pusat yang diterajui Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang didakwa gagal menangani isu ekonomi yang menghimpit rakyat ketika ini.

Mengulas lanjut, Mohamad yang juga Menteri Pertahanan berkata, visi Kerajaan Perpaduan cukup jelas untuk mempertahankan majoriti dua pertiga sekali gus membolehkan misi kerajaan untuk memulihkan ekonomi berjaya.

"Bagi Kerajaan Perpaduan, kita mahu bentuk kerajaan yang mantap kerana ia menjadi kriteria utama buat pelabur nak datang melabur ke satu negeri atau negara.

"Ini jelas selepas Johor menang sahaja (dengan majoriti dua pertiga) pada Mac lalu, Johor membawa masuk pelaburan RM70 bilion pada tahun lalu, iaitu 30 peratus daripada keseluruhan pelaburan negara," katanya.

Sekarang ini katanya, negara menjadi destinasi pelabur baharu contohnya Tesla memilih Malaysia, manakala Infineon Technologies pula manambah pelaburan RM25 bilion di Kulim High Tech Park, Kedah.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!