PRK: Pengundi muda tunjuk sokongan positif calon PH

Muhammad Akmal (tengah) mengadakan sidang akhbar selepas menghadiri perlawanan bola sepak bersama komuniti belia Simpang Jeram di Padang Kampung Kenangan Tun Dr Ismail 2 pada Ahad. - Foto: Bernama
Muhammad Akmal (tengah) mengadakan sidang akhbar selepas menghadiri perlawanan bola sepak bersama komuniti belia Simpang Jeram di Padang Kampung Kenangan Tun Dr Ismail 2 pada Ahad. - Foto: Bernama
A
A
A

MUAR - Pengundi muda dalam kalangan ahli UMNO dilihat mula memberi sokongan positif kepada calon Pakatan Harapan (PH) sepanjang tempoh seminggu berkempen pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram.

Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh berkata, pihaknya berharap momentum positif itu akan berkekalan dan diterjemahkan melalui sokongan di kertas undi pada 9 Sept ini, sekali gus menyumbang kemenangan kepada PH.

"Strategi yang kita guna agak berbeza sikit. Hari ini strategi adalah satu sama satu...kita pergi ke setiap cawangan untuk beri penerangan secara jelas sebab mereka ini masa Pilihan Raya Negeri (PRN) enam negeri, kerajaan baru ditubuhkan dan beberapa lagi isu penerangan tidak sampai ke bawah.

"Jadi ini menimbulkan syak wasangka, jadi kali ini strategi lebih bersasar dan fokus kepada Pemuda UMNO, fokus kita keluarkan seberapa ramai ahli Pemuda UMNO untuk keluar mengundi pada 9 Sept ini dan seterusnya mengundi Kerajaan Perpaduan,” katanya.

Dr Muhamad Akmal yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau berkata demikian kepada pemberita selepas beramah mesra dengan komuniti belia dan anak muda Kampung Kenangan Tun Dr Ismail 2 dekat sini pada Ahad.

Mengulas isu kenyataan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Sabtu, beliau berkata, bekas perdana menteri itu tidak seharusnya menggunakan sentimen hukum menghukum kerana ia merupakan satu cara yang tidak sihat dan boleh memecah-belahkan masyarakat Islam.

"Muyhiddin ini pemimpin, rakyat akan terkesan setiap bait kata dikeluarkan pemimpin, jadi sebagai pemimpin saya minta kita boleh berbeza pendapat dan berbahas ideologi dan polisi. Tapi perkara ini tidak baik untuk minda masyarakat.

"Kita nak berkempen dengan sihat kena ada politik matang dan progresif. Jadi hukum haram bukan tugas kita, kalau tiada dalil jangan bawa main dan kita harap perkara ini dihentikan supaya kita boleh kempen secara sihat,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Muhyiddin semasa Ceramah Perdana di Dataran Utama Kempas pada malam Sabtu, dilaporkan telah mengatakan bahawa adalah haram memberikan undi kepada calon PH PRK Pulai, Suhaizan Kaiat sehingga menimbulkan pelbagai reaksi.

PRK Parlimen Pulai dan PRK DUN Simpang Jeram dijalankan susulan kekosongan luar jangka berikutan kematian penyandangnya Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub pada 23 Julai lepas.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan pengundian awal pada Selasa ini dan hari mengundi pada Sabtu depan. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!