Kerajaan kaji semula pelarasan gaji penjawat awam
JOHOR BAHRU - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan bersetuju melakukan pelarasan tangga gaji pensyarah, profesor dan penjawat awam menerusi Belanjawan Madani kedua yang akan dibentang di Parlimen Oktober ini.
Beliau berkata, ini sebagai langkah sementara sehingga kajian menyeluruh berhubung skim gaji dan persaraan penjawat awam selesai dilakukan, yang dijangka pada tahun depan.
"Saya tengok pelarasan gaji pensyarah, profesor dan penjawat awam sudah 10, 12 tahun tidak dikaji, tidak dinaikkan padahal mengikut peruntukan, setiap 10 tahun perlu ada pelarasan,” katanya semasa sesi soal jawab dalam program Temu Anwar Johor Bahru di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Skudai pada Ahad.
Perdana Menteri berkata, justeru, satu jawatankuasa telah dibentuk untuk mengkaji perkara tersebut.
Program Temu Anwar yang berlangsung selama sejam setengah itu dihadiri hampir 4,000 pelajar, pendidik dan orang awam.
Turut hadir Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi dan Naib Canselor UTM, Profesor Datuk Dr Ahmad Fauzi Ismail.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!