Mudahkan rakyat miliki lesen memandu
CADANGAN untuk menaik taraf lesen memandu motosikal kelas B2 kepada B secara automatik mendapat pelbagai reaksi dalam kalangan rakyat dan penganalisis di negara ini.
Rata-rata kurang bersetuju dengan cadangan tersebut kerana dianggap tidak wajar dan perlu diteliti implikasinya terhadap keselamatan penunggang serta pengguna jalan raya.
Risiko kemalangan melibatkan pengguna motosikal amat tinggi berdasarkan statistik kes kemalangan saban tahun di negara ini.
Walaupun cadangan menaik taraf lesen memandu kepada B itu adalah bagi penunggang motosikal yang tidak melakukan kesalahan jalan raya serius dalam tempoh tiga tahun selepas mendapat B2, tidak bermakna ia boleh dilaksanakan secara automatik.
Lesen kelas B2 adalah bagi motosikal di bawah 250cc dan penggunaan motosikal dalam kelas itu kebanyakan untuk kegunaan harian – satu keperluan bagi golongan berpendapatan rendah dan golongan muda.
Sebaliknya, motosikal berkuasa tinggi 250cc ke atas lebih kepada gaya hidup atau menjadi hobi golongan yang berkemampuan.
Tidak semua mampu memiliki lesen B, apatah lagi motosikal berkuasa tinggi. Bukan disebabkan harga yang mencecah puluhan hingga ratusan ribu ringgit sahaja, malah pengendalian jentera berkelajuan tinggi itu menuntut kemahiran dan kecekapan tinggi.
Jadi, adalah lebih baik pelbagai pandangan diambil kira, antaranya Presiden Persatuan Institut Memandu Malaysia (PIMA), Mat Aris Bakar yang meminta ia diteliti sedalam-dalamnya kerana boleh menimbulkan implikasi kepada sistem keselamatan jalan raya negara ini.
Baginya, jika cadangan tersebut dilaksanakan, ia boleh menyebabkan sistem pengambilan lesen kenderaan di negara ini dilihat mundur kerana melibatkan kompetensi seseorang penunggang.
Kebimbangan sama dilontarkan oleh Ahli Bersekutu Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya (Miros), Tengku Ahmad Marwan Tengku Mahmud kerana baginya cadangan itu dijangka boleh meningkatkan risiko kemalangan dan kematian kepada pengguna jalan raya.
Kekurangan kemahiran dan latihan mengendalikan jentera berkuasa tinggi boleh mengundang bahaya, justeru perlu ada latihan serta ujian yang sesuai.
Beliau menyarankan kerajaan mencari jalan memudahkan rakyat memiliki lesen memandu termasuk menurunkan kadar bayarannya.
Langkah itu perlu kerana bilangan motosikal semakin bertambah, sedangkan masih ramai penunggang tidak memiliki lesen termasuklah dalam kalangan pemilik motosikal berkuasa tinggi.
Ada yang hanya memiliki lesen B2 atau tiada lesen motosikal langsung.
Pengeluar motosikal pula rancak bersaing dengan pelbagai model baharu dikeluarkan saban tahun, sementara peniaga menawarkan promosi untuk menarik pembeli.
Situasi itu dibimbangkan akan meningkatkan lagi penunggang tanpa lesen sedangkan kesalahan melibatkan lesen memandu terutama melibatkan golongan berkenaan sudah lumrah dan antara yang paling banyak dikesan dalam setiap operasi dijalankan.
Bukan tiada tindakan oleh pihak berkuasa, namun penguatkuasaan yang dijalankan termasuk saman seolah-olah tidak berkesan bagi menyelesaikan isu tersebut.
Alasan kerap diberikan pesalah jalan raya termasuklah tidak mampu mengambil lesen kerana kos tinggi.
Kadar bayaran untuk mengambil lesen memandu di negara ini antara RM350 hingga RM450 bagi lesen motosikal B2.
Kadar itu dianggap tinggi dan satu bebanan bagi sesetengah pihak terutama golongan yang berpendapatan rendah.
Ujian memandu percuma bagi lesen motosikal kelas B2, teksi, bas dan e-hailing untuk golongan B40 antara insentif yang diumumkan dalam Belanjawan 2023 disambut baik dan langkah tersebut dilihat dapat membantu menyelesaikan isu itu.
Malangnya, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke dalam satu kenyataan kemudiannya menjelaskan kerajaan tidak dapat menanggung semua golongan B40 mendapatkan lesen tersebut kecuali hanya individu daripada kategori itu yang mengalami masalah kewangan akan dipertimbangkan bagi menerima manfaat berkenaan.
Seharusnya inisiatif itu diberikan perhatian dan keutamaan ketika ini sebagai langkah pemutihan bagi mengatasi isu penunggang serta pemandu yang tidak layak berada di atas jalan raya.
* Nik Amirulmu’min Nik Min ialah Ketua Wartawan Sinar Harian Pahang
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!