Tinggalkan sampah jadi trend setiap kali sambut merdeka

Sambutan Hari Kebangsaan ke-66 di Dataran Putrajaya pada 31 Ogos lalu meriah dengan kehadiran lebih 100,000 pengunjung. - Foto Bernama
Sambutan Hari Kebangsaan ke-66 di Dataran Putrajaya pada 31 Ogos lalu meriah dengan kehadiran lebih 100,000 pengunjung. - Foto Bernama
A
A
A

MERAK Jalanan rasa bangga dengan semangat patriotik rakyat Malaysia yang sanggup berpusu-pusu ke Dataran Putrajaya bagi memeriahkan sambutan Hari Kebangsaan ke-66 pada 31 Ogos lalu.

Malah, Merak Jalanan juga kagum melihat segelintir pengunjung yang sanggup ‘berkampung’ lebih awal di pekarangan Dataran Putrajaya semata-mata mahu mencari kedudukan sesuai dan paling dekat untuk menyaksikan acara perbarisan dan perarakan hari merdeka.

Namun, di sebalik kemeriahan dan semangat tinggi yang ditunjukkan itu, Merak Jalanan kecewa kerana masih ramai tidak peka dengan isu kebersihan.

Difahamkan, hampir 20 tan sampah ditinggalkan begitu sahaja tanpa rasa bersalah oleh lebih 100,000 pengunjung di Dataran Putrajaya.

Ia membuktikan bahawa kemerdekaan yang telah dikecapi selama lebih enam dekad belum mampu mengikis sikap buruk segelintir rakyat negara ini.

Longgokan sampah itu sahaja sudah menunjukkan mentaliti, adab dan sikap masyarakat. Bukan sahaja menyakitkan mata memandang, malah turut mengundang persepsi buruk pelancong dari luar negara.

Seramai 125 pekerja pembersihan Alam Flora telah dikerah untuk melakukan kerja-kerja mengutip sampah. Kerja-kerja pembersihan pula dikatakan telah bermula seawal jam 4 pagi dan berakhir sekitar jam 7 malam.

Merak Jalanan percaya jika pengunjung membuang sampah dengan menggunakan 700 tong sampah bergerak pelbagai saiz, masalah sampah-sampah bertaburan di atas jalan dan longkang mungkin dapat dikurangkan, sekali gus memudah serta melicinkan tugas pekerja-pekerja pembersihan.

Artikel Berkaitan:

Merak Jalanan harap isu sampah tidak lagi berlaku pada sambutan Hari Kebangsaan pada masa hadapan.

Kita sepatutnya mencontohi sikap penyokong bola sepak Jepun yang membersihkan stadium setiap kali perlawanan berakhir.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!