Anak dituduh mencuri punca lelaki maut

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KENINGAU - Anak dituduh mencuri di kawasan ladang punca seorang lelaki maut dalam satu pergaduhan di sebuah kebun di Kampung Batu 27, Jalan Tenom-Keningau Selasa lalu.

Mangsa, warga Indonesia berusia 47 tahun ditemukan pada jam 4 petang dalam keadaan tidak sedarkan diri sebelum disahkan meninggal dunia di Hospital Keningau.

Ketua Polis Daerah Keningau, Superintenden Yampil Anak Garai berkata, pihaknya menerima laporan pada jam 9.50 malam berhubung kematian mangsa.

Katanya, hasil siasatan mendapati seorang lelaki tempatan yang membuat rondaan di kawasan kebun menemui mangsa dalam keadaan terbaring dan tidak sedarkan diri tetapi masih bernafas.

"Mangsa dibawa ke hospital untuk rawatan lanjut namun pihak hospital mengesahkan mangsa telah meninggal dunia akibat pendarahan dalam otak, terdapat juga benjolan pada kepala kanannya.

"Susulan kejadian itu, tiga individu termasuk dua wanita ditahan bagi membantu siasatan untuk mengesan empat suspek utama yang terlibat dalam kes ini," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Isnin.

Yampil berkata, bertindak atas maklumat sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Keningau berjaya menahan empat lelaki warga Indonesia secara berasingan pada Sabtu lalu.

"Semua suspek berusia antara 17 hingga 37 tahun ditahan sekitar jam 8 pagi hingga 3 petang di kawasan tepi jalan Kampung Bunga Raya dan hadapan sebuah rumah tidak bernombor di sebuah ladang kelapa sawit.

Artikel Berkaitan:

"Hasil siasatan awal, berlaku pergaduhan dipercayai berpunca apabila kesemua suspek menuduh anak mangsa sebagai pencuri di kawasan ladang tempat kerja mereka dan ingin mendapatkan penjelasan.

Namun berlaku cabar-mencabar antara mereka sehingga menyebabkan pergaduhan dan kematian mangsa, " katanya.

Sehubungan itu, Yampil berkata, kesemua suspek ditahan reman sehingga Khamis ini untuk siasatan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!