Kembara Kenali Borneo: Konvoi menuju Lahad Datu, Sandakan
TAWAU - [DIKEMAS KINI] Hari ini suasana di bandar Tawau berbeza daripada kebiasaan.
Buat julung kali, masyarakat setempat menyaksikan ketua negara, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berangkat memulakan perjalanan Kembara Kenali Borneo di Bulatan 0KM Padang Perbandaran Tawau, di sini.
Al-Sultan Abdullah, yang memandu sendiri kenderaan pacuan empat roda, mengetuai konvoi kembara 25 kenderaan dengan acara pelepasan disempurnakan oleh Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin pada 8.30 pagi.
Turut berangkat mengikuti program kembara sejauh 2,154 kilometer menelusuri Lebuhraya Pan Borneo ialah paduka anakanda Tengku Arif Bendahara, Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah; Tengku Puteri Raja, Tengku Puteri Jihan Azizah 'Athiyatullah; Tengku Puteri Raja, Tengku Puteri Ilisha Ameera dan Tengku Puteri Raja, Tengku Puteri Ilyana.
Bagaikan pesta, keberangkatan Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah serta rombongan menarik minat masyarakat setempat keluar beramai-ramai menunggu dan ingin melihat lebih dekat serta merakamkan detik bersejarah bersama pasangan diraja dan rombongan.Hujan yang turun tidak menghalang masyarakat setempat berkumpul dan berada di sepanjang jalan raya yang menjadi laluan Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah serta rombongan Kembara Kenali Borneo sejak awal pagi.
Kumpulan selawat, persatuan kompang dan pelatih jururawat dari kolej jururawat Kementerian Kesihatan serta pelajar sekolah meraikan keberangkatan berlepas Seri Paduka berdua dalam kembara itu, manakala orang ramai yang hadir bersemangat mengibarkan Jalur Gemilang dan bendera Sabah.
Terdahulu, Mufti Kerajaan Sabah Datuk Bungsu @ Aziz Jaafar membacakan doa bagi memohon keselamatan dan kesejahteraan Seri Paduka berdua serta peserta konvoi.
Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah turut berkenan merakamkan gambar kenangan di kawasan Bulatan 0KM, yang melambangkan titik asal penubuhan pusat pentadbiran awam di bandar Tawau dan menjadi penanda jarak ke pelbagai destinasi di seluruh bandar.
Turut hadir menyaksikan pelepasan konvoi itu adalah isteri Yang Dipertua Negeri Sabah, Toh Puan Norlidah R.M Jasni; Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof; Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor; Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah, Datuk Seri Kadzim M Yahya, Ahli-Ahli Jemaah Menteri Kerajaan Sabah dan kenamaan yang lain.
Kembara Kenali Borneo hingga 13 September ini akan berakhir di Telok Melano, Sarawak merentasi Lebuhraya Pan Borneo yang menghubungkan Sabah, Sarawak serta Brunei memberi peluang keemasan bagi rakyat di kedua-dua negeri untuk beramah mesra dengan pasangan diraja dan delegasi.
Konvoi Kembara Kenali Borneo itu dijadual singgah di Menara Kayangan, Lahad Datu sebuah menara tarikan pelancong yang terletak di atas Gunung Silam pada ketinggian 884 meter dari aras laut dan kira-kira 11 kilometer dari bandar Lahad Datu.
Seri Paduka berdua dijadual mendengar taklimat ringkas daripada Jabatan Perhutanan Sabah mengenai menara serta alam semula jadi di kawasan itu, sebelum melawat sekitar Menara Kayangan.
Terletak dalam Hutan Simpan Sapagaya, Menara Kayangan setinggi kira-kira 30 meter itu juga dikenali dengan nama panggilan 'Tower of Heaven' oleh penduduk tempatan serta pelancong asing, mula dibuka kepada orang ramai pada April 2012.
Selain menikmati keindahan flora dan fauna di Gunung Silam, menara itu juga memaparkan pemandangan biru laut luas di Teluk Darvel yang memberikan pengunjung pemandangan 'dua alam' iaitu hijau hutan serta biru lautan luas. - Bernama
Agong, Permaisuri terharu semangat rakyat
KUALA LUMPUR - Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menzahirkan rasa terharu dengan semangat yang ditunjukkan rakyat pada jelajah Kembara Kenali Borneo, petang Ahad.
Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Mej Jen Datuk Zahari Mohd Ariffin berkata, Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah turut menzahirkan rasa terharu dengan kehadiran ribuan rakyat yang menyambut ketibaan baginda berdua.
Beliau berkata, Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah terharu dengan sambutan rakyat yang meluangkan masa seawal 12 tengah hari serta sabar menanti di sepanjang 34 kilometer perjalanan dari Lapangan Terbang Tawau ke hotel penginapan untuk bertemu dan bersalaman dengan baginda berdua.
"Walaupun Yang di-Pertuan Agong memandu sendiri kereta dengan ditemani Raja Permaisuri Agong mengambil masa selama hampir enam jam ke hotel penginapan, baginda berdua amat gembira kerana dapat menyantuni rakyat di sepanjang perjalanan yang sepatutnya memakan masa lebih kurang 30 minit.
"Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong juga amat terharu dengan semangat yang ditunjukkan oleh rakyat di hari pertama baginda berdua berangkat tiba di Sabah bagi merealisasikan impian baginda menelusuri Sabah dan Sarawak, bermula Isnin di Tawau dan berakhir di Teluk Melano, Kuching, Sarawak pada 13 September 2023 kelak," katanya dalam kenyataan di sini pada Isnin.
Zahari berkata, Al-Sultan Abdullah turut menasihati rakyat di setiap lokasi yang telah dirancang bagi program Kembara Kenali Borneo supaya menitikberatkan keselamatan diri terutama semasa berada di bahu jalan serta mematuhi arahan pihak berkuasa tempatan.
Seri Paduka turut menzahirkan penghargaan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof serta kerajaan negeri Sabah dan Sarawak dalam merealisasikan Kembara Kenali Borneo.
"Seri Paduka baginda menzahirkan ucapan terima kasih kepada Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin; Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof; Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor dan Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah, Datuk Seri Kadzim M Yahya atas majlis sambutan keberangkatan tiba baginda berdua di Tawau, termasuk penganjuran Majlis Pelancaran Kembara Kenali Borneo dan Santapan Malam Bersama Masyarakat Tawau, pada Ahad," katanya.
Seri Paduka berdua juga turut mengajak rakyat mendoakan agar impian pengembaraan baginda berdua yang julung kali diadakan dalam mendekati rakyat di Sabah dan Sarawak dipermudahkan serta berjalan dengan lancar dan jayanya.
Beliau berkata, baginda turut bertitah agar semangat perpaduan yang terserlah pada sambutan Hari Kebangsaan 2023 baru-baru ini juga ditunjukkan oleh rakyat Sabah dan Sarawak pada sambutan Hari Malaysia 2023 pada 16 September 2023 ini.
ARTIKEL BERKAITAN:
Agong lancar program Kembara Kenali Borneo
Kembara Kenali Borneo: Agong terharu sambutan rakyat di Tawau
Agong, Raja Permaisuri santuni masyarakat Tawau
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!