Kebangkitan dramatik Arsenal bikin MU putih mata
DUA gol mendadak pada masa kecederaan menyaksikan naib juara musim lalu, Arsenal bangkit menewaskan Manchester United, 3-1 dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris di Stadium Emirates.
Perlawanan separuh masa pertama, Arsenal tampil agresif, namun kelab London yang diikat Fulham 2-2 pada 26 Ogos lalu terlebih dulu ketinggalan hasil jaringan Marcus Rashford pada minit ke-27.
Bagaimanapun kedudukan itu hanya bertahan kurang seminit apabila Martin Odegaard kembali mengikat permainan 1-1 sebelum kedua-dua pasukan menuju ke bilik persalinan.
Separuh masa kedua, kedua-dua pasukan berprofil tinggi Liga Perdana Inggeris itu saling mengasak, namun deretan peluang gagal diterjemahkan dalam bentuk jaringan.
Ketika kedua-dua pihak seolah-olah berpuas hati dengan satu mata setelah gol berbaki seminit permainan Alejandro Garnacho dibatalkan selepas ulang tayang video bantuan pengadil (VAR) akibat ofsaid.
Sebelum itu, Arsenal juga dinafikan untuk mendapatkan sepakan penalti dalam perlawanan berintensiti tinggi tersebut.
Namun pemain sensasi Arsenal, Declan Rice akhirnya membuka akaun golnya di Arsenal dengan rembatan padu minit ke-96 sebelum Gabriel Jesus melengkapkan kemenangan mendebarkan 3-1 ke atas Manchester United pada minit 101.
"Saya rasa mengawalnya dengan dagu saya dan baru sahaja melakukan percubaan, jika anda tidak melakukannya anda tidak menjaringkan gol..
"Ia adalah margin terbaik bola sepak. Kami pergi ke sudut yang lain untuk gol itu dan saya menjaringkan gol sebelum Gabi (Jesus) melengkapkannya. Hanya margin yang membuat keputusan," kata Rice.
Sementara itu, pengendali Arsenal Mikel Arteta berkata, "Ia adalah satu perkara yang indah bagaimana situasi ini berubah yang menyaksikan kami memenangi perlawanan akhirnya.
"Kami begitu dominan. Menentang Fulham ia adalah cerita yang sama. Pasukan ini berhak mendapat lebih. Apabila saya melihat pasukan ini berusaha sehabis baik dengan keinginan itu untuk menang, ia merupakan keinginan terindah."
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!