Lima pekerja hotel maut kabel lif terputus
DENPASAR - Sekurang-kurangnya lima pekerja hotel di pulau peranginan Bali, Indonesia maut selepas kabel lif yang mereka naiki terputus dan terjunam ke dalam jurang 100 meter (m).
Media tempatan melaporkan insiden sekitar jam 1 petang (waktu tempatan) pada Jumaat itu berlaku di Ayuterra Resort di daerah Ubud, kira-kira 22 kilometer (km) dari Denpasar.
Ketua Polis Ubud, Made Uder berkata, siasatan awal menunjukkan kabel itu putus kerana lif terlalu berat sehingga menyebabkannya jatuh pada kecondongan 35 darjah.
Katanya lagi, polis juga sedang meneliti kemungkinan terdapat elemen kecuaian pihak pengurusan dan juruteknik yang tidak melakukan penyelenggaraan secara berterusan.
"Faktor cuai, pengabaian keselamatan semua aspek ini perlu disiasat," ujar Made.
Difahamkan, mangsa yang maut terdiri daripada dua lelaki dan tiga wanita.
Tiga daripada mangsa dikatakan masih bernyawa dan dikejarkan ke hospital berhampiran, sebelum dilaporkan meninggal dunia tidak lama selepas itu.
Pusat peranginan itu terletak di atas tebing dan perkhidmatan kereta kabel tersebut biasanya digunakan oleh tetamu dan pekerja untuk memasuki ke kawasan resort itu. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!