Pengundi bawah 40 tahun pengaruhi keputusan PRK - Tok Mat
JOHOR BAHRU - Pengundi di bawah umur 40 tahun perlu terus didekati kerana mereka berperanan besar membantu kemenangan mana-mana parti pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram.
Menurut Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hassan, berdasarkan kajian peratusan pengundi dalam kelompok umur berkenaan didapati sentiasa meningkat dari semasa ke semasa.
Malah katanya, peningkatan berkenaan dilihat banyak dipengaruhi oleh pelaksanaan Undi 18.
“Antara faktor kemenangan bagi pilihan raya sekarang ini banyak dipengaruhi oleh pengundi berusia 40 tahun ke bawah.
“Berdasarkan kajian, dikatakan mereka ini (pengundi 40 tahun ke bawah), merangkumi sekitar 50 peratus pengundi di seluruh negara.
“Peratusannya semakin lama semakin tinggi kerana setiap hari ada individu yang mencapai usia 18 tahun dan automatik didaftarkan. Jadi kena cari strategi baharu untuk menangi hati mereka,” katanya.
Mohamad Hassan berkata demikian ketika berucap pada di Pusat Daftar Mengundi (PDM) Pekaka, Taman Perling, di sini malam Ahad.
Sementara itu, Mohamad yang juga Menteri Pertahanan berkata, jentera UMNO dan BN akan terus bekerja bagi membantu memenangkan calon Kerajaan Perpaduan di kedua-dua PRK.
Beliau berkata, tumpuan untuk berkempen diberikan kepada kedua-dua PRK bagi memastikan kerusi tersebut terus kekal menjdi milik calon Kerajaan Perpaduan.
“Mengundi awal adalah pada Selasa ini, jadi usaha untuk berkempen perlu diteruskan dengan hari yang berbaki, sehingga pada malam Jumaat nanti.
“Selain itu penerangan juga perlu diberikan...sebab ada yang tanya, mengapa tiada lambang dacing kena pangkah lambang lain,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!