Isu banjir jadi keutamaan Suhaizan
JOHOR BAHRU - Masalah banjir kilat yang berlaku di kawasan penempatan di Parlimen Pulai sejak beberapa tahun kebelakangan ini akan menjadi tumpuan calon Pakatan Harapan (PH), Suhaizan Kaiat pada Pilihan Raya Kecil (PRK) pada 9 September ini.
Jelas beliau, enam lokasi yang kerap berlaku banjir kilat sudah dikenalpasti, antaranya di Skudai Kiri, Ayer Molek, Kampung Pasir, Permatang, Tampoi Indah dan berdekatan Hospital Sultanah Aminah (HSA) kerana lokasinya berdekatan Sungai Skudai.
"Kawasan terbabit juga rendah menyebabkannya sering dilanda banjir kilat selain ditambah air pasang besar," katanya di Taman Cempaka, di sini pada Isnin.
Hadir sama, Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hassan.
Suhaizan menambah, beliau juga akan menumpukan isu tempat letak kereta di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kempas Permai yang terlalu padat.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan penduduk di PPR Kempas berharap agar wakil rakyat yang dilantik selepas PRK Parlimen Pulai kali ini dapat membantu menangani beberapa permasalahan di PPR berkenaan.
Sejak beberapa tahun lalu, pelbagai masalah membelenggu mereka seperti longgokan sampah, longkang tersumbat, kekurangan parkir serta ketiadaan lampu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!