Tindakan UMANY hanya buang masa - Menteri

Mohamed Khaled (empat dari kanan) melawat Oppstar Berhad di Bangunan 12U, Sains@USM di Bukit Jambul pada Isnin.
Mohamed Khaled (empat dari kanan) melawat Oppstar Berhad di Bangunan 12U, Sains@USM di Bukit Jambul pada Isnin.
A
A
A

GEORGETOWN - Tindakan Persatuan Belia Baharu Universiti Malaya (UMANY) mahu memfailkan semakan kehakiman ke atas cadangan Garis Panduan Aktiviti Hiburan (Konsert) di institusi pengajian tinggi (IPT) seliaan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) diibaratkan satu tindakan sia-sia.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, tindakan UMANY hanya membuang masa kerana garis panduan berhubung perkara itu belum diluluskan.

"Saya sudah maklumkan sebelum ini, garis panduan itu tidak diluluskan, jadi ia hanya membuang masa. Tiada ada perkara sedemikian.

"Saya sudah cakap, benda itu tak ada sebab saya tak luluskan. Jadi anda nak buat semakan kehakiman benda saya tak luluskan, buat apa?" katanya selepas mengadakan lawatan ke Oppstar Berhad di Bangunan 12U, Sains@USM di Bukit Jambul di sini pada Isnin.

Beliau bagaimanapun menyerahkan kepada pelajar untuk membuat garis panduan mereka sendiri berhubung perkara berkenaan.

"Saya sudah serahkan kepada pelajar untuk buat garis panduan mereka. Kenapa anda nak politikkan isu ini?

"Ada banyak cara lain nak popular lah," katanya.

Sebelum ini, melalui kenyataan UMANY, tindakan memfailkan semakan kehakiman itu perlu dibuat bagi melindungi autonomi mahasiswa yang didakwa semakin berkurangan jika cadangan garis panduan sedang dirangka Jabatan Pendidikan Tinggi (JPT) itu diluluskan.

Artikel Berkaitan:

Ini kerana, katanya, UMANY khuatir cadangan garis panduan itu akan mengakibatkan pelbagai sekatan tidak munasabah bagi aktiviti sedemikian pada masa hadapan, sekali gus berkemungkinan merencatkan hak kebebasan bersuara dalam kalangan mahasiswa.

Sehubungan itu, UMANY memohon orang ramai menyalurkan bantuan kewangan bagi membiayai hasrat persatuan berkenaan memfailkan semakan kehakiman ke atas cadangan garis panduan terbabit.

Khamis lalu, sebuah akhbar berbahasa Cina, melaporkan berkaitan garis panduan berkenaan mengundang kritikan kerana didakwa mengekang hak dan autonomi mahasiswa untuk menganjurkan acara hiburan.

Garis panduan itu antaranya didakwa memperkenalkan kod pakaian yang melarang pakaian memaparkan logo Illuminati, lesbian, gay, biseksual dan transeksual (LGBT) selain simbol lucah serta rambut punk.

Artis juga dilarang memakai pakaian berbeza jantina, termasuk anting-anting, gelang dan seluar pendek.

Tempat duduk lelaki dan perempuan juga perlu dipisahkan, termasuk kawasan khas bagi penonton yang datang dengan ahli keluarga.

Peraturan lain termasuk, penganjur perlu melakukan semakan latar belakang artis bagi memastikan mereka tidak terbabit dalam sebarang kontroversi dan penganjur perlu memastikan lagu dipersembahkan tidak mengandungi lirik atau genre yang menyentuh isu sensitif.

'Mosh pits' atau tempat orang ramai melompat dan berjoget yang biasanya dilihat dalam konsert rock, dilarang sama sekali selain artis dilarang membawa penonton naik ke pentas.

Artis lelaki juga dikatakan dikehendaki mengikat rambut panjang dan semua pembuat persembahan dilarang memakai pakaian mencolok mata, manakala penari dilarang membuat sentuhan fizikal atau terbabit dalam tarian provokatif.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!