Mohammad ada kemampuan unik kemudi ATM - Affendi
KUANTAN - Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jeneral Tan Sri Affendi Buang yakin pengganti beliau Jeneral Tan Sri Mohammad Ab Rahmah mempunyai kemampuan yang unik dan tersendiri dalam meneruskan kesinambungan legasi dalam ATM.
Affendi berkata, landskap keselamatan serantau dan global semakin kompleks, dinamik pada hari ini, menuntut ATM untuk dikemudi oleh seorang pemimpin generasi moden lebih bertenaga, produktif, kompetitif bagi merealisasikan visi untuk menjadi Angkatan Tentera yang bersepadu, tangkas serta berfokus pada abad ke-21 ini.
Justeru, tampuk pemerintahan ATM akan diserahkan sepenuhnya kepada Panglima Tentera Darat, Mohammad pada 6 September depan selepas 44 tahun pengabdian beliau dalam Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) khususnya dan ATM amnya.
"Besar harapan saya agar seluruh barisan kepimpinan dan segenap lapisan warga ATM daripada ketiga-tiga perkhidmatan, termasuklah warga Kementerian Pertahanan, agar dapat meneruskan sokongan dan dorongan yang sama kepada panglima angkatan tentera yang baharu ini nanti.
"Doa saya kepada semua agar terus diberikan kekuatan, kebijaksanaan dan dapat berikan yang terbaik dalam memastikan pertiwi berdaulat ini kekal selamat, berdaulat, makmur, demi generasi hari ini serta generasi-generasi yang mendatang," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada istiadat perbarisan penghargaan kepada beliau sebagai Panglima ATM ke-21 yang diadakan di Pangkalan Udara Kuantan di sini pada Isnin.
Turut hadir, Mohammad; Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Abdul Rahman Ayob; Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Mohd Asghar Khan Goriman Khan; Panglima Angkatan Bersama, Leftenan Jeneral Datuk Noor Mohamad Akmar Mohd Dom dan Ketua Staf Markas ATM, Leftenan Jeneral Datuk Arman Rumaizi Ahmad.
Affendi memaklumkan tempoh tiga tahun lapan bulan menjalankan tugas sebagai panglima ATM merupakan suatu pengalaman berharga buatnya.
Beliau mengakui bukan sahaja berpeluang untuk berkenalan dengan lebih dekat dengan warga dari ketiga-tiga perkhidmatan, malah dapat menyelami dan memahami liku-liku kehidupan yang berada di sebalik keistimewaan pakaian seragam dikenakan.
Katanya, walaupun terdapat pelbagai keterbatasan yang dimiliki, namun warga ATM tetap fokus dan komited melaksanakan amanah yang diberikan.
"Anda sanggup mengorbankan nyawa, masa, dan berjauhan dengan ahli keluarga, demi memastikan keselesaan rakyat serta keselamatan negara dapat terpelihara pada sebilang masa.
"Secara peribadinya, saya amat menghargai jasa, keringat dan pengorbanan yang telah diberikan. Semoga kebaikan ini dibalas dengan ganjaran pahala yang setimpal dari-Nya jua," kata beliau lagi.
Affendi mengharapkan warga ATM dapat menerapkan kualiti terpuji, memastikan integriti dan disiplin diri dipelihara dengan sebaik-baiknya demi nama baik serta imej angkatan agar ia sentiasa berada di puncaknya.
Tambah beliau, reputasi dan prestasi cemerlang ini sangat penting untuk mencetuskan kepercayaan mutlak pihak berkepentingan, dalam membuat anjakan keutamaan ke arah pembangunan ATM.
"Perlu diingatkan, hendaklah sentiasa merancang, memantau dan menilai strategi jangka panjang pada masa depan, ATM perlu berhati-hati bagi mengelakkan dari terperangkap ke dalam sindrom angkatan ompong.
"Oleh itu, perkiraan yang bijak harus dibuat setiap masa, khususnya dalam menentukan senarai keupayaan realistik agar dapat menjadi keutamaan berbanding senarai hajat dalam perolehan keupayaan angkatan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!