Pulau Pinang dilanda banjir kilat
GEORGETOWN - Beberapa kawasan termasuk di pekarangan Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) dilanda banjir kilat berikutan hujan lebat melanda negeri ini bermula jam 11 pagi Isnin.
Selain Komtar, kawasan lain yang turut dilanda banjir kilat ialah Tanjung Tokong, Air Itam, Datuk Keramat, Jalan Transfer, Jalan Rangoon, Jalan Macalister dan Jalan Magazine.
Di Jalan Macalister, antara yang terjejas teruk adalah sebuah restoran nasi kandar popular di mana, air melimpah masuk sehingga ke ruang makan.
Tinjauan di Jalan Transfer pula mendapati air memenuhi jalan utama di situ namun masih boleh dilalui oleh kenderaan ringan.
Kejadian banjir kilat itu menyebabkan kesesakan teruk di sekitar bandar ini.
Menerusi Facebook Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Komtar, Teh Lai Heng, beberapa kawasan di Komtar dan kawasan sekitar dinaiki sehingga paras buku lali.
Selain itu, Lai Heng turut melaporkan kejadian pokok tumbang di Jalan Gudwara, bersebelahan Pasar Raya Gama.
Dalam pada itu, salah seorang kakitangan kerajaan yang hanya mahu dikenali sebagai Ahmad, 30-an berkata, banjir kilat itu adalah kejadian biasa sekiranya hujan lebat melanda bandar ini.
"Memang hujan lebat sangat tadi, banjir ni dah biasa. Selalunya air naik sekejap saja. Air pun naik tak tinggi, kenderaan ringan masih boleh lalu.
"Air kembali surut selepas sejam," katanya.
Banjir di semua lokasi dilaporkan surut sejam kemudian.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Pulau Pinang, Saadon Mokhtar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pokok tumbang di beberapa lokasi di Seberang Perai Utara.
"Kejadian angin kuat dan hujan lebat tadi menyebabkan puluhan pokok tumbang dan bumbung rumah tercabut.
"Bagaimanapun setakat ini, tiada mangsa yang terlibat. Hujan lebat di Pulau Pinang juga menyebabkan banjir kilat di beberapa kawasan namun tiada mangsa dipindahkan.
"Bomba sedang memantau situasi dari masa ke semasa. Kebanyakkan pokok yang tumbang telah dialihkan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) dengan bantuan penduduk, manakala rumah yang terlibat akan diuruskan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Pulau Pinang," katanya ketika dihubungi pada Isnin.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!