Ramai penunggang motosikal dikesan tiada lesen
SHAH ALAM - Tiada lesen memandu kompeten (CDL) antara kesalahan tertinggi dikesan menerusi Operasi Khas Motosikal yang dijalankan di seluruh negara bermula 1 September lalu.
Pengarah Kanan Penguatkuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Lokman Jamaan berkata, sebanyak 18,498 motosikal telah diperiksa dan 695 motosikal disita atas pelbagai kesalahan jalan raya.
Menurut beliau, tindakan saman dan sitaan yang dijalankan melibatkan sebanyak 8,278 kesalahan.
"Tiada lesen memandu mencatatkan antara kesalahan tertinggi dengan jumlah 2,220 notis saman dikeluarkan, selain sitaan melibatkan 192 motosikal.
"Selain itu, antara kesalahan lain dikesan dan dikenakan tindakan saman serta sitaan melibatkan tiada perlindungan insurans (1,676), Lesen Kenderaan Motor tamat tempoh (1,633) serta lain-lain kesalahan," katanya menerusi kenyataan pada Isnin.
Katanya, Operasi Khas Motosikal secara besar-besaran itu dijalankan dengan menumpukan terhadap pelbagai kesalahan jalan raya.
"Data yang diperoleh sebelum ini menunjukkan sebanyak 2,672 kematian melibatkan penunggang dan pembonceng motosikal sejak Januari sehingga Mei tahun ini.
"Angka ini mencatatkan peningkatan yang membimbangkan sekali gus menjadikan satu justifikasi untuk JPJ melaksanakan Operasi Khas Motosikal ini," katanya.
Menurutnya, operasi itu dijalankan dengan menggunakan kaedah risikan serta penyamaran di lokasi-lokasi tumpuan.
"Ia turut melibatkan kawasan lampu isyarat, pelaksanaan pemeriksaan mengejut melibatkan laluan motosikal serta sekatan jalan raya (SJR).
"JPJ mengambil tindakan penguatkuasaan bagi mendidik pengguna supaya mematuhi peraturan dan berhemah semasa berada di jalan raya menerusi pelaksanaan Operasi Khas Motosikal ini," katanya.
Pada Jumaat, JPJ mengumumkan pihaknya akan menjalankan Operasi Khas Motosikal sehingga 30 September ini dengan menumpukan pelbagai kesalahan jalan raya antaranya pelanggaran lampu isyarat, tiada lesen memandu serta pelbagai kesalahan lain.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!