Polis ambil masa sejam rakam keterangan Abdul Hadi
KUALA LUMPUR - Polis pada Isnin mengambil keterangan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berhubung kenyataan beliau yang mempertikaikan kuasa Lembaga Pengampunan dalam ceramahnya di markas parti itu di Bakri, Muar, bulan lepas.
Keterangan Abdul Hadi dirakam oleh seorang pegawai penyiasat daripada Unit Siasatan Jenayah Terkelas, Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman di Ibu Pejabat Pas Pusat di sini.
Terdahulu pegawai penyiasat berkenaan tiba pada jam 11.15 pagi dan dilihat meninggalkan bangunan berkenaan pada 12.50 tengah hari.
Setiausaha Politik kepada Abdul Hadi, Mohd Syahir Che Sulaiman berkata, proses rakaman keterangan itu mengambil masa selama sejam dan berjalan lancar.
"Tok guru (Abdul Hadi) memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pegawai penyiasat dan telah menjawab semua soalan yang diajukan," katanya kepada pemberita yang berkumpul di kawasan ibu pejabat parti itu sejak jam 9 pagi ini.
Beliau berkata, Abdul Hadi ditemani seorang peguam semasa proses rakaman keterangan dan akan memberikan kerjasama sepenuhnya jika perlu dirakam keterangan susulan.
Pada 28 Ogos, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata siasatan telah dibuka terhadap Abdul Hadi di bawah Seksyen 4 (1) Akta Hasutan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!