Kerajaan Madani bantu semua, bukan tumpu kaum tertentu - Anwar

Anwar berucap pada Majlis Pelancaran Program Lestari Niaga @ Kuala Lumpur D’Medan Selera Madani di Kompleks Tun Sambanthan pada Isnin. - Foto Bernama
Anwar berucap pada Majlis Pelancaran Program Lestari Niaga @ Kuala Lumpur D’Medan Selera Madani di Kompleks Tun Sambanthan pada Isnin. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan Kerajaan Madani bukan hanya menjaga kebajikan satu kaum, sebaliknya membantu menyelesaikan masalah rakyat tanpa mengira latar belakang.

Anwar berkata, Kerajaan Madani memberikan keadilan kepada semua rakyat Malaysia dan bertoleransi, namun tidak membelakangkan Perlembagaan.

"Sebab itu saya tidak setuju langkah madani tertumpu kaum tertentu sahaja. Apabila saya sebut sekolah daif, saya tak peduli sekolah mana, semua sekolah perlu dibantu.

"Ini pendekatan baharu, ada saja masalah wajib selesaikan. Begitu juga miskin tegar, tidak kira kaum apa, semua bantu. Ini baru madani, ambil kira semua," katanya pada Majlis Pelancaran Program Lestari Niaga @ Medan Selera Madani Kompleks Tun Sambanthan pada Isnin.

Beliau berkata, agenda itu bagaimanapun tidak merubah pendirian Malaysia terhadap bahasa kebangsaan, Islam agama Persekutuan dan Raja Melayu.

Ujarnya, perkara itu sering ditekankan, namun ia tidak mudah dilaksanakan susulan berdepan cabaran isu polemik yang dibangkitkan berasaskan kaum.

"Apabila datang ke Little India, Datuk Bandar umum program untuk kaum India, maka orang Melayu cakap saya jaga orang India saja tak bantu orang Melayu.

"Apabila cakap soal Melayu termasuk mata pelajaran hadis (Modul Penghayatan Hadis 40 Imam Nawawi), orang bukan Islam kata saya islamik mahu mempengaruhi Islam. Apa yang dibuat semua tak kena," katanya.

Artikel Berkaitan:

Tambahnya, pendekatan Islamik kepada orang Melayu bagi memastikan ajaran Islam difahami dan diamalkan.

"Saya akan pastikan anak Islam di Malaysia faham Islam, hormat satu sama lain, tidak hina orang berdasarkan warna kulit dan kaum.

"Saya mahu pastikan setiap rakyat adalah anggota besar keluarga kita, menghormati dan memuliakan mereka. Orang yang duduk di sini empat lima generasi, jangan kita hina mereka," ujarnya.

Beliau berharap mesej Kerajaan Madani di bawah pimpinannya difahami dan tidak terpengaruh dengan kenyataan dengan orang politik yang terdesak untuk mempengaruhi rakyat.

Pada program itu, Anwar menyempurnakan Program Lestari Niaga @ Medan Selera Madani Kompleks Tun Sambanthan yang merupakan inisiatif kerajaan menaik taraf dan mengindahkan fasiliti gerai peniaga kecil serta penjaja sedia ada.

Terdapat enam pusat penjaja dan gerai milik Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di kawasan Brickfields namun pada tahun ini, DBKL melaksanakan kerja pengindahan di dua lokasi iaitu D'Medan Selera Madani Kompleks Tun Sambanthan dan Kedai Bunga Little India Brickfields yang memanfaatkan 71 peniaga.

Ia termasuk penyelenggaraan bumbung, kerja mengecat bangunan dan mural, penggantian kipas dan lampu, pemasangan papan tanda serta penggantian paip.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!