PRK Simpang Jeram: Liputan kempen sudah capai 80 peratus - Nazri

Nazri ketika ditemui media di pekarangan rumahnya di Taman Sri Kasih, Muar. - Foto Bernama
Nazri ketika ditemui media di pekarangan rumahnya di Taman Sri Kasih, Muar. - Foto Bernama
A
A
A

MUAR - Berbaki lima hari lagi sebelum berlangsungnya Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram, calon Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi itu, Nazri Abdul Rahman menyatakan liputan kempen ketika ini sudah meliputi 80 peratus membabitkan kawasan dan pengundi.

Beliau berkata, pihaknya yakin dalam tempoh beberapa hari lagi, kesemua pengundi di Simpang Jeram dapat disantuni menerusi kaedah konvensional iaitu bertemu pengundi secara bersemuka di warung, medan selera, rumah dan tapak niaga.

"Secara keseluruhan kami telah berkempen hampir 80 peratus terutama di kawasan perumahan dan kawasan luar bandar, mudah-mudahan pecutan akhir ini kami akan dapat temui semua pengundi," katanya kepada pemberita selepas mengadakan ramah mesra dengan media di kediamannya hari ini.

Mengikut daftar Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sehingga April lalu terdapat 40,379 pengundi berdaftar di Simpang Jeram dengan pengundi Melayu merangkumi 51.87 peratus daripada keseluruhan pemilih berdaftar di Simpang Jeram, diikuti dengan Cina (44.58 peratus) dan India (2.53 peratus)

Dalam pada itu Nazri yang juga Timbalan Ketua Amanah Kawasan Bakri menzahirkan penghargaan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang membantunya berkempen menerusi Ceramah Mega Madani Kerajaan Perpaduan semalam.

"Saya memberi jaminan Insya-ALLAH tidak akan mengecewakan harapan Perdana Menteri. Pasukan kempen akan menggiatkan lagi usaha memberi penerangan mengajak pengundi untuk menunaikan tanggungjawab," katanya.

Semalam, Anwar meminta pengundi Simpang Jeram memberi sokongan padu kepada Nazri untuk menjadi wakil rakyat bagi menguatkan lagi kerajaan negeri sekali gus membantu mempermudah usaha memacu pembangunan di kawasan itu.

PRK Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram diadakan susulan kekosongan luar jangka berikutan kematian penyandangnya, Datuk Seri Salahuddin Ayub yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup pada 23 Julai lepas.

Artikel Berkaitan:

PRK di kedua-dua kerusi berkenaan menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara PN, BN-PH dan Bebas, dengan Nazri akan berdepan saingan Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Dr Mohd Mazri Yahya daripada PN dan calon Bebas yang juga ahli perniagaan S Jeganathan.

SPR menetapkan PRK bagi kedua-dua kerusi itu diadakan serentak dengan hari pengundian awal pada 5 September diikuti hari pengundian 9 September. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!