Operasi perlu setiap masa, bukan bermusim - Tengku Ahmad Marwan
SHAH ALAM - Tiada lesen memandu dilihat menjadi salah satu faktor menyumbang kepada kemalangan dan pengguna yang gagal mematuhi perkara asas itu juga boleh mengakibatkan kesan bukan sahaja terhadap diri sendiri malah pengguna jalan raya yang lain.
Ahli Tetap Majlis Keselamatan Jalan Raya Negeri Selangor, Tengku Ahmad Marwan Tengku Mahmud berkata, tidak memiliki lesen memandu adalah kesalahan berat selain pengguna tersebut disifatkan kurang arif mengenai peraturan jalan raya.
"Tiada lesen memandu bermaksud seseorang itu tidak melalui kursus penunggangan serta pemanduan di pusat latihan memandu, secara langsung seseorang itu tidak tahu akan peraturan serta undang-undang jalan raya.
"Mungkin bukan 100 peratus menjadi penyebab kemalangan, namun ia menjadi salah satu punca kerana pengguna itu tidak tahu akan peraturan sebenar jalan raya," katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.
Katanya, penguatkuasaan perlu dijalankan secara berterusan supaya tindakan tegas dapat diambil terhadap mereka yang tidak memiliki lesen memandu.
"Operasi perlu dijalankan setiap masa dan bukannya fokus pada musim tertentu seperti perayaan sahaja.
"Ia setidaknya akan meningkatkan perasaan gentar terhadap pengguna dan memberikan ingatan terhadap mereka bahawa perlu ada lesen sekiranya memandu atau menunggang di jalan raya," katanya.
Mengulas lanjut katanya, kempen kesedaran berkaitan kepentingan memiliki lesen memandu perlu dipergiat di semua peringkat masyarakat melalui penglibatan Jabatan Pengangkutan Jalan di sekolah, institusi pengajian tinggi awam atau swasta serta komuniti-komuniti setempat.
Tegas beliau, peraturan jalan raya perlu dikuatkuasakan dengan lebih tegas dan berkesan dalam memastikan ia dipatuhi oleh pengguna termasuk tindakan tegas terhadap ibu bapa atau penjaga yang membenarkan anak mereka menunggang motosikal tanpa lesen.
Dalam masa sama, beliau turut berpendapat inisiatif diskaun saman perlu segera dihentikan kerana tujuan saman dikenakan adalan untuk memberi pengajaran.
"Ia seolah beri isyarat undang-undang dan peraturan yang ditetapkan ini kurang tegas," katanya.
Pada Isnin, Sinar Harian melaporkan tiada lesen memandu (CDL) antara kesalahan tertinggi dikesan menerusi Operasi Khas Motosikal yang dijalankan di seluruh negara bermula 1 September lalu.
Pengarah Kanan Penguatkuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Lokman Jamaan berkata, kesalahan tersebut mencatatkan sebanyak 2,220 notis saman dikeluarkan selain sitaan melibatkan 192 motosikal.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!