Pesawah rugi padi terendam akibat pengairan tidak sempurna

Shahidan memeriksa tanaman padinya yang terendam didakwa berpunca daripada sistem pengairan tidak sempurna di Pida Lima, Jalang Sanglang, Jerlun.
Shahidan memeriksa tanaman padinya yang terendam didakwa berpunca daripada sistem pengairan tidak sempurna di Pida Lima, Jalang Sanglang, Jerlun.
A
A
A

JERLUN - Pesawah di Pida Lima, Jalan Sanglang, dekat sini memohon Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) segera menyelenggara sistem pengairan yang didakwa tidak sempurna sehingga menyebabkan padi terendam dan air tidak dapat disalir keluar ke tali air.

Shahidan Saad, 61, berkata, padi yang menunggu waktu untuk dituai kebanyakannya telah rosak akibat terendam di dalam air, malah ada dalam kalangan mereka terpaksa mengeluarkan modal tambahan sendiri untuk mengepam air keluar dari petak sawah.

Dakwanya, sebuah projek pembangunan sistem pengairan yang bermula 16 Mac 2021 dilakukan tidak mengikut jadual dikenal pasti menjadi punca tempat saliran air di kawasan berkenaan menjadi cetek sekali gus mengganggu sistem pengairan.

"Kalau nak selesaikan isu ini memang kena keluar modal tambahan tapi bukan semua petani ada duit.

"Kawasan ini melibatkan ramai pesawah (iaitu melibatkan keluasan sekitar) 400 hingga 500 relung (115 hingga 143 hektar) yang akan mengalami kerugian (jika masalah berterusan)," katanya semasa ditemui di sini pada Isnin.

Shahidan berkata, mereka kerugian ribuan ringgit akibat permasalahan tersebut dan kesannya akan lebih dirasai bagi pesawah yang mengusahakan tanaman padi dalam skala kecil di kawasan berkenaan.

Petani memohon sistem pengairan di Pida Lima, Jalan Sanglang, Jerlun diselenggara dengan segera sebelum jadual tanam semula musim kedua pada awal Oktober ini bermula.
Petani memohon sistem pengairan di Pida Lima, Jalan Sanglang, Jerlun diselenggara dengan segera sebelum jadual tanam semula musim kedua pada awal Oktober ini bermula.

Bagi seorang lagi pesawah, Aziz Abdullah, 55, berharap masalah tersebut dapat diselesaikan oleh pihak terbabit sebelum jadual tanam semula musim kedua pada awal Oktober ini bermula.

Artikel Berkaitan:

"Kami minta mereka selesaikan masalah ini kerana para petani nak mula tanam padi bagi musim kedua yang akan bermula tidak lama lagi. Minta tengok (jalankan penyelenggaraan) seperti saluran-saluran air ini," ujarnya.

Perkara itu turut diakui oleh seorang lagi pesawah, Ali Baharom, 78, yang menjelaskan mereka tidak menolak pembangunan yang mahu dibawa oleh kerajaan ke kawasan tersebut namun perlu dilaksanakan dengan sempurna tanpa membebani pesawah.

Menurutnya, masalah itu membebankan mereka yang selama ini menjadikan pekerjaan tersebut sebagai sumber pendapatan untuk menyara keluarga masing-masing.

Difahamkan, pada bulan lalu satu perbincangan dilakukan oleh pesawah dan MADA untuk membuat saluran air dari petak sawah ke tali air, namun agensi tersebut masih menunggu kontraktor Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Syarikat Air Darul Aman (SADA) untuk mengubah tiang elektrik terlebih dahulu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!