Dr Zaliha persembah cadangan pembinaan HSA2 kepada Sultan Johor

Dr Zaliha mempersembahkan cadangan pembinaan HSA2 kepada Sultan Ibrahim. - Foto Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar
Dr Zaliha mempersembahkan cadangan pembinaan HSA2 kepada Sultan Ibrahim. - Foto Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar
A
A
A

JOHOR BAHRU - Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa hari ini mempersembahkan cadangan pembinaan Hospital Sultanah Aminah 2 (HSA2) kepada Sultan Johor, Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar.

Dalam pertemuan yang berlangsung kira-kira sejam itu, Dr Zaliha turut mempersembahkan perancangan kerja-kerja naik taraf beberapa kemudahan di Hospital Sultanah Aminah (HSA).

Menurut satu hantaran di Facebook rasmi baginda, Sultan Ibrahim amat menitikberatkan kualiti perkhidmatan perubatan dan kemudahan hospital kerajaan di negeri ini.

Terdahulu, Sultan Ibrahim berkenan menerima menghadap Ahli Parlimen Sekijang itu di Istana Polo, Pasir Pelangi, di sini.

Berangkat sama dalam pertemuan itu, Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Turut hadir, Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi; Setiausaha Kerajaan Negeri, Tan Sri Dr Azmi Rohani dan Exco Kesihatan dan Perpaduan negeri, Ling Tian Soon.

Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meluluskan peruntukan segera RM500 juta bagi projek pembangunan fasa pertama infrastruktur di HSA merangkumi pembinaan parkir bertingkat dan blok baharu di hospital itu.

Dua hari lepas, Dr Zaliha meninjau tapak cadangan pembinaan HSA2 melibatkan kawasan seluas 70 ekar yang dicadangkan Kementerian Pertahanan di Taman Nesa, Skudai.

Cadangan pembinaan HSA2 ini adalah bagi mengatasi kesesakan di dua hospital di bandar raya ini iaitu HSA dan Hospital Sultan Ismail (HSI). - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!