PRK: Calon Bebas umum formula atasi kemiskinan Khamis ini
JOHOR BAHRU - Calon Bebas Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai, Samsudin Mohamad Fauzi akan mengumumkan formula bagi menangani masalah kemiskinan termasuk golongan B40 dalam satu sidang media pada Khamis.
Menurut Samsudin, formula berkenaan juga akan turut melibatkan kaedah-kaedah bagi membantu golongan B40 untuk keluar daripada kepompong kemiskinan.
"Insya-ALLAH, saya akan umumkan formula ini dalam satu sidang media, pada Khamis.
"Sebenarnya memang banyak isu melibatkan rakyat terutamanya isu kos sara hidup hari ini.
"Oleh itu, kalau sebelum ini kata boleh keluarkan B40 (daripada kemiskinan), bukan sekadar bercakap sahaja... macam saya, tak minat bagi 'ikan', tapi lebih berminat bagi 'joran' kepada mereka," katanya kepada pemberita pada Isnin.
Tambah Samsudin, sekiranya dia benar-benar berjaya memenangi PRK kali ini, dia bakal memberikan fokus mengenai kenaikan harga barang makanan asas.
Malah katanya, isu berkenaan akan disuarakannya dengan lantang di Parlimen kelak.
“Isu harga makanan asas mahal terutama beras, ayam dan telur telah 'mencekik' leher rakyat sekian lama dan apakah kita tidak merasa kasihan terhadap golongan miskin tegar terutamanya di bandar?” soalnya.
Sementara itu, Samsudin berkata, setelah berkempen selama seminggu, pihaknya mendapati rakyat menyambut baik kehadiran calon Bebas sepertinya.
Malah katanya, ada tempat yang menunggu kehadirannya sepanjang tempoh berkempen kali ini.
"Dalam seminggu berkempen nampak orang marah kepada parti-parti politik dan mereka rasa selesa bercerita dengan kami malah risalah kami juga tidak dibuang... mereka baca.
"Oleh itu, kemenangan kami calon Bebas bakal mewujudkan blok ketiga di Parlimen kelak, iaitu suara daripada NGO (badan bukan kerajaan), yang mewakili rakyat," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!