Penghantar barang 'palsu' dicekup selepas gagal pecah rumah
PUTRAJAYA - Tindakan seorang lelaki yang menyamar sebagai penghantar barang dalam cubaan memecah masuk sebuah rumah di perumahan Fasa 8, Presint 9 di sini mengundang padah apabila ditangkap pada Isnin.
Ketua Polis Daerah (IPD) Putrajaya, Asisten Komisioner A Asmadi Abdul Aziz berkata, dalam kejadian kira-kira jam 10.20 pagi itu, mangsa melihat suspek berada di hadapan rumahnya sambil memegang kunci mangga yang sebelum itu diletakkan pada pintu besi rumahnya.
Menurut beliau, mangsa yang curiga dengan perbuatan suspek itu kemudian bertanyakan tujuan kedatangannya.
"Suspek memberikan alasan mahu menghantar barangan dan mendapati kunci mangga itu telah rosak sebelum suspek bertindak melarikan diri menerusi tangga untuk turun ke bawah blok perumahan tersebut.
"Mangsa mengesyaki suspek cuba memecah masuk rumahnya sebelum menghebahkan kejadian itu menerusi grup WhatsApp kejiranan kawasan itu," katanya menerusi kenyataan pada Isnin.
Katanya, mangsa kemudian bergegas turun ke bawah dan mendapati jiran sekitar turut membantu mengesan suspek.
"Suspek kemudiannya berjaya ditahan kira-kira jam 11 pagi sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.
"Anggota polis yang menjalankan pemeriksaan terhadap suspek telah menemui peralatan dipercayai digunakan untuk memecah rumah antaranya spanar, 11 batang anak kunci, kunci serbaguna dan pelbagai peralatan lain," katanya.
Menurutnya, suspek merupakan lelaki warga tempatan berumur 29 tahun.
"Semakan dijalankan mendapati suspek mempunyai 11 rekod jenayah dan dadah.
"Soal siasat dijalankan turut mendapati suspek sebelum ini terlibat dalam kejadian cubaan memecah masuk dua buah rumah lain di sekitar perumahan tersebut," katanya.
Kes disiasat di bawah Seksyen 457/511 Kanun Keseksaan dan Seksyen 28(i)(II) Akta Kesalahan-kesalahan Kecil 1955.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!