Lelaki cedera diserang jiran mabuk
GOMBAK - Seorang lelaki cedera akibat diserang dengan jiran yang bersenjatakan pisau ketika bergaduh di Kampung Kuala Garing Selatan, Rawang di sini, Jumaat lalu.
Pemangku Ketua Polis Daerah Gombak, Superintenden Noor Ariffin Mohamad berkata, pihaknya menerima laporan daripada mangsa berusia 23 tahun pada jam 7.29 malam, hari sama.
"Kejadian berlaku selepas lelaki itu menerima panggilan daripada kakaknya berusia 43 tahun yang memaklumkan jiran membuat bising.
"Mangsa yang tiba di lokasi telah bertengkar dengan jiran berkenaan," katanya dalam kenyataan pada Isnin
Noor Ariffin berkata, suspek kemudian telah mengambil sebilah pisau dan bertindak menyerang lelaki itu.
“Mangsa mengalami kecederaan luka di bahagian jari telah mendapatkan rawatan di Hospital Selayang,” katanya.
Beliau berkata, polis telah memberkas suspek yang juga lelaki tempatan berusia 42 tahun di Jalan Kuala Garing Selatan di sini, pada jam 2.30 petang, Ahad.
“Siasatan mendapati ketika kejadian suspek di bawah pengaruh alkohol dan buat bising dengan bercakap kuat serta mengeluarkan kata-kata kesat kepada kakak mangsa yang menegur perbuatannya itu," katanya.
Noor Ariffin berkata, polis telah merampas satu senjata tajam yang diubah suai daripada suspek.
"Kes disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan.
"Orang ramai yang melihat atau mempunyai maklumat mengenai kejadian ini boleh hubungi Pegawai Penyiasat, Sarjan Mejar Ahmad Fatrah Amirul di talian 013-3122600 atau 03- 61262222,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!