Kerajaan hormati, tidak campur tangan kes mahkamah libat Zahid - Fadillah

Fadillah bercakap pada sidang media khas sewaktu tiba di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah Subang selepas pulang dari Program Kembara Kenali Borneo. - Foto Bernama
Fadillah bercakap pada sidang media khas sewaktu tiba di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah Subang selepas pulang dari Program Kembara Kenali Borneo. - Foto Bernama
A
A
A

SUBANG - Kerajaan tidak campur tangan dan menghormati proses perundangan dalam keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang melepas tanpa membebaskan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam kes pecah amanah melibatkan Yayasan Akalbudi.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, selain percaya kepada proses pengasingan kuasa antara Parlimen, eksekutif dan badan kehakiman, beliau yakin keputusan dibuat itu berdasarkan fakta yang kukuh.

"Jadi bagi saya biarlah proses perundangan itu berjalan dengan baik dan kita hormatilah.

"Kita tidak akan campur tangan, terserahlah kepada pihak Pejabat Peguam Negara untuk menilai apa tindakan seterusnya,” katanya ketika ditemui pemberita di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah di sini.

Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Collin Lawrence Sequerah hari ini melepas tanpa membebaskan Ahmad Zahid daripada 47 pertuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan dana Yayasan Akalbudi, selepas pihak pendakwaan memutuskan untuk memberhentikan prosiding kerana mereka berhasrat menyiasat kes itu dengan lebih mendalam.

Mengulas lanjut, Fadillah berkata, semua pihak seharusnya menghormati keputusan mahkamah selepas proses sepatutnya sebagaimana yang termaktub dalam sistem perundangan telah dilalui.

"Saya rasa selain yang ini, banyak keputusan lepas juga menjadi keputusan yang kontroversi tapi bagi saya itu hak mutlak mahkamah, jadi sebaiknya kita hormatilah,” katanya. - Bernama

ARTIKEL BERKAITAN: Ahmad Zahid hadir prosiding 47 kes rasuah, pecah amanah, AMLA

Artikel Berkaitan:

Pendakwaan mahu hentikan prosiding kes terhadap Ahmad Zahid

[VIDEO] Ahmad Zahid lepas tanpa bebas 47 tuduhan rasuah, pecah amanah, AMLA

'Saya bersyukur dilepas tanpa bebas' - Ahmad Zahid

Bazir masa mahkamah, wang rakyat - Hakim

Tidak wujud persepsi negatif sistem perlembagaan negara - Peguam

11 alasan pasukan pendakwaan mohon kes Ahmad Zahid dihentikan