Kes Zahid bukti wujud pendakwaan bermotif politik - UMNO Perak
IPOH - UMNO Perak menyifatkan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur melepaskan tanpa dibebaskan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi membabitkan dana Yayasan Akalbudi membuktikan selama ini wujud pendakwaan bermotifkan politik.
Pengerusinya, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, mengambil kira 11 alasan menghentikan pendakwaan ke atas semua pertuduhan tersebut, kredibiliti institusi perundangan termasuk Jabatan Peguam Negara dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu kembali dijernihkan.
Menurutnya, tindakan tersebut perlu dilakukan setelah terdedahnya satu persatu elemen campur tangan bermotif politik dalam kes berkenaan.
"Badan Perhubungan UMNO Negeri Perak menzahirkan kesyukuran atas keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada hari ini yang melepaskan Presiden UMNO terhadap 47 pertuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram.
"Keputusan mahkamah itu sekali gus menggambarkan natijah yang besar atas segala ujian getir dihadapi Datuk Seri Zahid selama lebih lima tahun dalam berjuang membersihkan dirinya daripada percaturan pendakwaan politik yang sengaja dikenakan ke atas beliau," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Dalam pada itu, Saarani berkata, keputusan mahkamah itu sewajarnya memberi pengajaran kepada semua pihak betapa institusi kehakiman yang selama ini menjadi tunjang sistem keadilan dan keamanan mesti sentiasa dipertahankan daripada menjadi perkakas politik.
Jelasnya, UMNO Perak berpendirian bahawa Kerajaan Perpaduan perlu menjadi teladan dengan memberi kebebasan sepenuhnya kepada institusi perundangan dalam menegakkan keadilan agar episod hitam pendakwaan politik tidak lagi berulang.
Terdahulu media pada Isnin melaporkan Ahmad Zahid dilepas tanpa dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi di sini pada Isnin, atas 47 tuduhan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram (AMLA) membabitkan dana Yayasan Akalbudi.
ARTIKEL BERKAITAN: Ahmad Zahid hadir prosiding 47 kes rasuah, pecah amanah, AMLA
Pendakwaan mahu hentikan prosiding kes terhadap Ahmad Zahid
[VIDEO] Ahmad Zahid lepas tanpa bebas 47 tuduhan rasuah, pecah amanah, AMLA
'Saya bersyukur dilepas tanpa bebas' - Ahmad Zahid
Bazir masa mahkamah, wang rakyat - Hakim
Tidak wujud persepsi negatif sistem perlembagaan negara - Peguam
11 alasan pasukan pendakwaan mohon kes Ahmad Zahid dihentikan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!