Kembara Kenali Borneo bantu hakis perasaan kewilayahan

Al-Sultan Abdullah berkenan melambaikan tangan sebelum berangkat pulang selepas Majlis Santapan Bersama Masyarakat Lahad Datu di Dewan Perdana malam ini. - Foto Bernama
Al-Sultan Abdullah berkenan melambaikan tangan sebelum berangkat pulang selepas Majlis Santapan Bersama Masyarakat Lahad Datu di Dewan Perdana malam ini. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Keberangkatan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah ke Sabah dan Sarawak untuk program Kembara Kenali Borneo akan membantu menghakis perasaan kewilayahan dan kenegerian antara rakyat di Semenanjung, Sabah dan Sarawak.

Timbalan Pengerusi Persatuan Anak Borneo Semenanjung, Serit Banyan berkata, keberangkatan Seri Paduka berdua turut menghapuskan persepsi ramai pihak bahawa rakyat Sarawak dan Sabah selama ini ‘dianaktirikan’ setelah menyertai Malaysia pada 16 September 1963.

"Keberangkatan Seri Paduka berdua membuktikan bahawa semua kita berada dalam satu keluarga besar di bawah naungan seorang ketua negara yang sama. Jadi, saya kira ia boleh menghakis perasaan kewilayahan dan kenegerian yang menebal antara rakyat di Semenanjung, Sabah dan Sarawak.

"Ini sekali gus dapat meningkatkan integrasi nasional selain merapatkan jurang semua pihak kerana tiada yang ketinggalan atau dianaktirikan dalam membina sebuah negara bangsa yang maju,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi tetamu program Ruang Bicara, membincangkan Kembara Kenali Borneo: Semai Tekad Perpaduan terbitan Bernama TV malam ini.

Kembara Kenali Borneo julung kali diadakan oleh ketua negara itu bermula 3 hingga 13 September menyaksikan Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah berpeluang mengenali lebih dekat rakyat Malaysia yang menetap di pedalaman Sabah dan Sarawak.

Kembara berkenaan bermula dari Tawau, Sabah dan akan berakhir di Telok Melano, Sematan, Sarawak melibatkan jarak perjalanan lebih 2,100 kilometer dengan melalui Lebuhraya Pan Borneo yang menghubungkan Sabah, Sarawak serta Brunei.

Berasal dari Betong, satu daripada kawasan luar bandar di Sarawak yang akan dilalui Al-Sultan Abdullah, Serit juga pasti kembara itu tidak akan dapat dilupakan oleh rakyat di Bumi Kenyalang lebih-lebih lagi apabila ia jarang berlaku.

Artikel Berkaitan:

"Disebabkan jarak dan demografi antara Semenanjung, Sabah dan Sarawak yang dipisahkan oleh Laut China Selatan maka kebanyakan aktiviti Seri Paduka berdua biasanya dijalankan di Semenanjung tetapi kali ini, Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah datang sendiri untuk bertemu dengan rakyat.

"Jadi ia akan menjadi momen bersejarah buat mereka kerana inilah figura dan ketua negara yang kita cari-cari dan idamkan, seorang yang penyayang dan sanggup mengetepikan protokol untuk mendekati rakyat,” katanya.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Politik Ekonomi Universiti Teknologi Mara (UiTM) Sabah, Profesor Madya Dr Firdausi Suffian pasti bahawa Yang di-Pertuan Agong akan mendalami permasalahan rakyat di kedua-dua negeri termasuk yang berkaitan kemiskinan dan infrastruktur asas, sepanjang kembara berkenaan.

"Semua daerah dilalui Seri Paduka di Sabah adalah daerah yang tinggi kadar kemiskinan dan penganggurannya selain tidak mencukupi akses kemudahan asas dan infrastruktur jalan yang baik. Saya percaya ini semua akan diambil kira oleh Seri Paduka supaya ia dapat diberi perhatian oleh kerajaan, sekurang-kurangnya dalam Rancangan Malaysia Ke-12 atau Belanjawan 2024,” katanya. - Bernama

ARTIKEL BERKAITAN:

Agong lawat ESSCom, Permaisuri memasak untuk rakyat di Lahad Datu

Kembara Kenali Borneo serlah keperibadian Agong terhadap rakyat - Fadillah

Pelbagaikan tanaman di Lahad Datu, Tawau untuk manfaat ekonomi - Agong

Empat menu air tangan Permaisuri untuk penduduk Lahad Datu

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!