PRK di Johor sambungan referendum rakyat - Annuar

Annuar (tiga dari kanan) ketika hadir pada Ceramah Kelompok PN di UDM 09 Kampung Jeram pada malam Isnin.
Annuar (tiga dari kanan) ketika hadir pada Ceramah Kelompok PN di UDM 09 Kampung Jeram pada malam Isnin.
A
A
A

MUAR - Kemenangan Perikatan Nasional (PN) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram pada 9 September ini nanti merupakan sambungan referendum rakyat yang ditunjukkan pada pilihan raya negeri (PRN) di enam negeri pada bulan lalu.

Pengerusi Muafakat Nasional (MN), Tan Sri Annuar Musa berkata, tidak lengkap referendum itu sekiranya tidak disertai rakyat Johor yang turut memberi isyarat sama.

Bekas Setiausaha Agung UMNO itu berkata, bagi memastikan PN menang, pengundi di Pulai dan Simpang Jeram perlu bersatu serta tidak berpecah belah dalam memberikan undi.

"PRK ini penting, jangan tunjuk undi yang berpecah-belah. Orang Melayu termasuk ahli UMNO perlu mengundi calon PN dalam dua PRK ini. Jangan tunjuk undi pecah-pecah," katanya.

Bekas Ahli Parlimen Ketereh itu berkata demikian dalam Ceramah Kelompok Perikatan Nasional di Unit Daerah Mengundi (UDM) 09 Kampung Jeram di sini pada malam Isnin.

Turut hadir Naib Presiden Pas, Datuk Idris Ahmad.

Annuar berkata, beliau yakin orang UMNO di Johor akan turut mengundi calon PN pada PRK ini.

"Saya duduk di sini tiga hari (untuk bantu berkempen) dan ada akar umbi UMNO yang datang berkongsi pandangan.

Artikel Berkaitan:

"Saya gembira mereka ada kesedaran yang tinggi. Ini jelas orang UMNO akan undi PN," kata beliau.

Sementara itu, Idris berkata, orang UMNO yang kecewa dengan pucuk pimpinan parti tersebut ketika ini perlu diajak untuk mengundi calon PN.

Katanya, tambahan pula calon UMNO tidak bertanding dalam dua-dua PRK tersebut dan lebih baik mereka memberi undi calon PN DUN Simpang Jeram, Dr Mazri Yahya dan calon PN Parlimen Pulai, Zulkifli Jaafar.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!