Peluang pemain negara tebus kecewa di Terbuka China

Pearly (kiri) dan Thinaah - Badminton Photo
Pearly (kiri) dan Thinaah - Badminton Photo
A
A
A

SKUAD badminton akan turun menggalas cabaran negara pada Kejohanan Badminton Terbuka China yang menawarkan hadiah AS$1,250,00 (RM5,818,750 juta) di Changzhou bermula Selasa.

Kejohanan berstatus Super 1,000 itu sudah pasti menjadi pentas buat para pemain negara menebus kekecewaan setelah gagal membawa pulang gelaran pada Kejohanan Badminton Dunia di Copenhagen, Denmark akhir bulan lalu.

Pemain perseorangan lelaki profesional, Lee Zii Jia memberi jaminan akan memberikan yang terbaik untuk kembali ke prestasi sebenar selepas persembahan hambar dalam beberapa kejohanan sebelum ini.

Menurutnya, tiada mana-mana pemain yang mahu kalah dalam perlawanan selain mengharapkan peminat badminton dapat bersabar untuk melihatnya kembali bangkit.

“Percayalah, saya bekerja keras untuk keluar daripada situasi ini kerana tiada siapa yang suka kalah. Tiada siapa yang melihat kekecewaan saya, emosi kerana ini tidak dirakam oleh kamera.

“Tetapi jurulatih Tat Meng sentiasa ada untuk saya, memberi jaminan kepada saya bahawa perubahan tidak berlaku dalam sekelip mata. Saya mesti bersabar.

“Sesetengah pemain mengambil masa beberapa bulan untuk mendapatkan semula prestasi mereka, malah ada yang bertahun-tahun. Saya perlu teruskan dan kekal profesional,” katanya.

Perjalanan pemain kelahiran Alor Setar, Kedah itu terhenti pada pusingan ketiga Kejohanan Badminton Dunia selepas ditunjukkan jalan keluar oleh bintang Denmark, Anders Antonsen.

Artikel Berkaitan:

Zii Jia tewas dalam masa 53 minit untuk mencatat kekalahan straight set 18-21, 17-21 dalam saingan yang berlangsung Royal Arena itu.

Tumpuan juga sudah pasti ke arah beregu wanita negara, Pearly Tan-M Thinaah yang kembali dengan semangat baharu selepas terkandas di peringkat suku akhir kejohanan tersebut.

Mereka terpaksa akur apabila tewas dalam pertarungan tiga set di tangan beregu nombor enam dunia dari China, Zheng Shu Xian-Zheng Yu biarpun suatu ketika berada di ambang untuk memenangi perlawanan itu.

Pengarah Kejurulatihan Beregu Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky memberitahu, pasangan negara itu sudah pun melupakan kekecewaan tersebut dan bermotivasi tinggi bagi menghasilkan keputusan positif di Terbuka China.

“Mereka (Pearly-Thinaah) kecewa ketika kekalahan di Kejohanan Dunia tetapi semuanya kembali normal selepas itu. Mereka menjalani latihan seperti biasa dan teruja untuk beraksi di Terbuka China.

“Mereka tetap bermotivasi tinggi dan kekal positif untuk menghadapi kejohanan seterusnya ini," ujar Rexy.

Membuka tirai hari pertama kejohanan pada Selasa, pemain perseorangan lelaki, Ng Tze Yong bakal membuat perhitungan dengan HS Prannoy dari India pada pusingan pertama.

Pearly-Thinaah pula bakal berdepan cabaran pasangan Belanda, Debora Jille dan Cheryl Seinen.

Bagi beregu campuran, dua pasangan negara akan bertembung sesama sendiri di peringkat awal.

Gandingan Goh Soon Huat-Shevon Lai akan menentang Tan Kian Meng-Lai Pei Jing dengan salah satu beregu akan terpaksa akur tersingkir awal daripada kejohanan tersebut.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!