PRK: Sokong calon PH demi kestabilan negara - Mat Sabu

Presiden Amanah Datuk Seri Mohamad Sabu berucap pada Jamuan Perpaduan Bersama Masyarakat Cina di Taman Bukit Indah Johor Bahru malam tadi.- Foto Bernama.
Presiden Amanah Datuk Seri Mohamad Sabu berucap pada Jamuan Perpaduan Bersama Masyarakat Cina di Taman Bukit Indah Johor Bahru malam tadi.- Foto Bernama.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Pengundi Cina di Parlimen Pulai diharap dapat memilih dan menyokong calon Pakatan Harapan (PH) Suhaizan Kaiat pada Pilihan Raya Kecil Parlimen Pulai pada 9 September nanti demi perpaduan, kestabilan dan kemakmuran negara.

Presiden Amanah Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, negara tidak akan stabil jika hanya satu kaum sahaja yang memerintah, sebaliknya perpaduan kaum dan kemakmuran akan meningkatkan lagi keyakinan orang luar untuk datang ke negara ini.

"Apabila ratusan ribu atau jutaan pelancong masuk ke Malaysia, kita dapat membina ekonomi negara dengan lebih baik pada masa depan. Kalau negara aman, barulah mereka mahu datang.

"Semua kaum kena berpakat membina negara. Kestabilan hanya ada dalam Kerajaan Perpaduan. Parti lain tiada kerana mereka berasaskan satu kaum," katanya berucap pada program Jamuan Perpaduan Bersama Masyarakat Cina di Taman Bukit Indah di sini malam tadi.

Turut hadir Presiden Parti Demokratik Progresif (PDP) yang juga Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing dan calon PH Parlimen Pulai Suhaizan.

Mohamad yang juga Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan berkata, Kerajaan Perpaduan sentiasa membincangkan isu-isu melibatkan soal kaum dan agama secara bersama-sama supaya dapat mencapai kesepakatan dalam membuat sebarang keputusan.

"Dalam mesyuarat Kabinet, tiada seorang pun menteri-menteri bukan Melayu menghalang kalau peruntukan diperbanyak kepada bumiputera dan Melayu. Mereka faham ekonomi mesti seimbang barulah negara ini akan maju.

"Kedudukan agama Islam juga tidak bincang berasingan, kita bincang bersama. Termasuk hak orang Melayu dan bumiputera, Cina dan lain-lain kaum, kita berbincang bersama bukan secara sulit. Kita dalam satu Kabinet bercakap satu nada dan satu irama, demi kepentingan rakyat," katanya.

Beliau berharap kerajaan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dapat bertahan sehingga pilihan raya akan datang dan terus dikukuhkan dengan pemilihan Suhaizan sebagai wakil rakyat di Parlimen Pulai.

Artikel Berkaitan:

"Kita cemburu dengan Singapura kerana negara itu terus maju. Namun kita juga boleh maju dan lebih baik daripada negara itu kalau kita mengekalkan perpaduan dan membina ekonomi yang lebih baik, ekonomi Madani pada masa akan datang," katanya.

Parlimen Pulai mempunyai sejumlah 166,653 pemilih berdaftar dengan 40.46 peratus atau 67,434 orang adalah pengundi Cina.

Pilihan Raya Kecil bagi Parlimen Pulai bakal menyaksikan saingan tiga penjuru antara Suhaizan, calon Perikatan Nasional Zulkifli Jaafar dan calon Bebas Samsudin Mohamad Fauzi. - Bernama.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!