Kes Ahmad Zahid: Ahli Parlimen Subang gesa reformasi institusi
KUALA LUMPUR - Reformasi institusi diperlukan bagi melaksanakan agenda reformasi mengenai tadbir urus yang lebih baik, ketelusan dan akauntabiliti.
Ahli Parlimen Subang, Wong Chen berkata, semua pihak perlu memastikan undang-undang diluluskan di Parlimen supaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Jabatan Peguam Negara bebas serta berfungsi tanpa pengaruh politik.
"Khususnya, Peguam Negara dan Pendakwa Raya perlu dipisahkan.
"Peguam Negara berfungsi sebagai ketua penasihat kepada kerajaan dalam hal perdagangan komersial, sivil dan antarabangsa manakala Pendakwa Raya mengendalikan badan pendakwaan awam yang bebas, bertanggungjawab hanya kepada Parlimen.
"Bagi SPRM, lantikan kanan mesti ditapis oleh Parlimen dan semua aktivitinya bertanggungjawab kepada Parlimen. Kedua-dua pembaharuan ini adalah asas," katanya dalam satu hantaran di aplikasi X pada Selasa.
Beliau berkata demikian mengulas keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur melepas tanpa membebaskan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi daripada 47 pertuduhan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram yang dihadapinya.
Pada Isnin, Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah melepas tanpa membebaskan Ahmad Zahid, 70, selepas membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya Datuk Mohd Dusuki Mokhtar, yang memaklumkan bahawa Jabatan Peguam Negara ingin memberhentikan semua prosiding terhadap beliau pada peringkat ini.
Ahmad Zahid, yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), berdepan pertuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram melibatkan dana Yayasan Akalbudi yang diasaskannya.
Mengulas lanjut, Chen yang juga Pengerusi Kumpulan Rentas Parti Parlimen Malaysia (KRPPM) berkata, pembaharuan itu perlu dilakukan dengan pantas dalam tempoh 12 bulan akan datang.
"Sebagai Ahli Parlimen kerajaan, saya akan terus menggesa dan mendesak kerajaan saya untuk melaksanakan pembaharuan ini.
"Apabila undang-undang ini diwujudkan, maka mungkin kita akan melihat permulaan kepada berakhirnya pengaruh politik yang tidak wajar dalam perkara anti rasuah," ujarnya. - Awani
ARTIKEL BERKAITAN: Ahmad Zahid hadir prosiding 47 kes rasuah, pecah amanah, AMLA
Pendakwaan mahu hentikan prosiding kes terhadap Ahmad Zahid
[VIDEO] Ahmad Zahid lepas tanpa bebas 47 tuduhan rasuah, pecah amanah, AMLA
'Saya bersyukur dilepas tanpa bebas' - Ahmad Zahid
Bazir masa mahkamah, wang rakyat - Hakim
Tidak wujud persepsi negatif sistem perlembagaan negara - Peguam
11 alasan pasukan pendakwaan mohon kes Ahmad Zahid dihentikan
Kes Zahid: Pimpinan Kerajaan Perpaduan perlu nyatakan pendirian - Muda
Kes Zahid bukti wujud pendakwaan bermotif politik - UMNO Perak
ABIM gesa pengasingan kuasa pendakwa raya, Peguam Negara
Kerajaan hormati, tidak campur tangan kes mahkamah libat Zahid - Fadillah
Kebenaran akhirnya tertegak, memihak kepada Zahid - UMNO Kedah
Zahid tenang, Nurul Hidayah menangis
Ambiga tuntut beri penjelasan kes Ahmad Zahid
Latheefa Koya kritik pendakwaan henti prosiding Ahmad Zahid
Pembebasan Ahmad Zahid kukuh kembali imej UMNO - Ahmad Maslan
Kes Zahid: Tuan Ibrahim nafi keluar kenyataan
'Keputusan kes Zahid, satu kemunduran bagi gerakan rakyat’- Maria Chin
Kes Zahid: Ujian ini ajar erti kesabaran, kesetiaan - Nurulhidayah
Kes Ahmad Zahid: UMNO Kelantan akan terus lawan fitnah musuh
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!