Penduduk rayu MB campurtangan isu parkir

Penduduk merayu kepada kerajaan negeri supaya masalah parkir di Kuala Besar dapat diselesaikan.
Penduduk merayu kepada kerajaan negeri supaya masalah parkir di Kuala Besar dapat diselesaikan.
A
A
A

KOTA BHARU - Hampir 3,000 penduduk di 11 pulau sekitar Tumpat dekat sini mula bimbang apabila kawasan meletak kenderaan yang digunakan sejak 50 tahun lalu semakin mengecil.

Dakwa penduduk perkara tersebut berlaku disebabkan tanah lapang yang sekian lama digunakan berhampiran pejabat Lembaga Kemajuan Ikan Negeri di Kuala Besar itu dijadikan kawasan pengumpulan pasir.

Seorang penduduk, Che Othman Che Ibrahim, 63, berkata, lokasi itu menjadi tempat penduduk di sekitar pulau meletakkan kenderaan sebelum menyeberang sungai menggunakan bot untuk urusan harian mahupun pulang ke rumah.

Dia juga bekas Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) yang tinggal di Pulau Teluk Renjuna itu mendakwa sebelum ini, penduduk pernah berbincang dan pemaju berjanji untuk tidak mengganggu kawasan parkir.

“Sedihnya kami, sejak awal Ramadan tempat letak kereta kami semakin sempit. Mereka letak zink dijadikan benteng dan kami tidak boleh lagi letak kereta kami macam biasa. Mana janji mereka dulu.

“Kami sudah tidak ada tempat lain yang lagi selamat. Jadi kami merayu supaya Menteri Besar (Datuk Ahmad Yakob) campur tangan dan selesaikan masalah penduduk,” katanya kepada media hari ini.

Katanya, jika sebelum ini penduduk tidak mengalami masalah kerana boleh menggunakan tanah seluas hampir 1.6 hektar untuk letak kenderaan tetapi sekarang sudah tinggal satu pertiga sahaja.

Perkara itu lebih merumitkan lagi penduduk pulau katanya, apabila tibanya hari raya nanti setelah sanak-saudara pulang bercuti di kampung halaman dan akan menyebabkan kesesakan kawasan parkir.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu hampir 200 penduduk sekitar pulau dari Tumpat berhimpun di tapak tersebut sebagai merayu kepada pihak berkuasa tempatan dan kerajaan negeri supaya dapat menyelesaikan masalah tersebut.

Dalam perkembangan sama, penggunaan kawasan pengumpulan pasir bukan sahaja menyukarkan penduduk pulau di Tumpat tetapi mengganggu aktiviti perniagaan pasar malam yang diadakan setiap Jumaat.

Seorang penduduk, Mohd Raffee Mamat, 55, berkata, jika dahulu kawasan tersebut meriah dengan jualan hari minggu tetapi sekarang terpaksa berniaga di tepi-tepi jalan dan ia menjejaskan ekonomi penduduk setempat.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan, Dr Izani Hussin berkata, masalah tersebut sudah berada dalam perhatian dan pihaknya sedang berusaha menyelesaikannya.

"Tanah tersebut adalah milik syarikat asing yang kami pajakkan kepada mereka bagi kerja penyimpanan pasir untuk mendalamkan kuala sungai dan lokasi berkenaan juga akan dibina penempatan sementara untuk pekerjanya.

"Kami juga sedang mengadakan rundingan dengan beberapa pihak termasuk pejabat tanah untuk selesaikan masalah parkir penduduk termasuk sediakan tapak pasar malam baharu bagi menggantikan lokasi asal yang berada dalam kawasan berkenaan," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!